Guangzhou tutup pintu

BEIJING, 11 APRIL – Hab pengilangan Guangzhou menutup pintunya hari ini bagi kebanyakan kemasukan ke bandar itu ketika China memerangi peningkatan COVID di bandar-bandar besar timur negara itu.

Shanghai sudah pun menerima tamparan daripada peningkatan penularan, dengan 26,087 kes diumumkan hari ini, namun hanya 914 menunjukkan simptom. Bandar 26 juta penduduk itu juga dikenakan perintah berkurung ketat, dengan kebanyakan penduduknya kekal di rumah sehingga tiga minggu.

Belum ada perintah berkurung seumpamanya diumumkan bagi Guangzhou, sebuah metropolis 18 juta populasi di barat daya Hong Kong yang juga menempatkan banyak syarikat terkemuka dan lapangan terbang paling sibuk China. Hanya 27 kes dilaporkan di bandar itu hari ini.

Walau bagaimanapun, sekolah rendah dan menengah sudah pun beralih kepada pembelajaran online selepas satu penularan 23 jangkitan komuniti dikesan minggu lalu.

Sebuah pusat pameran kini sedang diubah menjadi hospital sementara selepas pihak berkuasa awal hari ini mengatakan mereka akan memulakan ujian saringan besar-besaran di seluruh bandar.

Hanya penduduk dengan ‘kepentingan mutlak’ boleh meninggalkan Guangzhou dan jika mereka diuji negatif virus dalam masa 48 jam pelepasan, kata jurucakap bandar, Chen Bin dalam satu pengumuman di media sosial. – AP

Seorang wanita memakai pelitup muka bagi menghindari koronavirus semasa menghantar anaknya ke sekolah di Beijing, 11 April. Bandar-bandar lain termasuk Guangzhou menutup pintunya bagi ketibaan selepas beberapa penularan COVID direkodkan. – AP