Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Buat julung kalinya di negara ini, Guardian Brunei telah meraikan Hari Kecantikan di Pusat Membeli-Belah OneCity yang dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik selain memberigakan kepentingan penjagaan diri.
Kempen hari kecantikan yang berlangsung selama tiga hari hingga hari ini itu menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus bagi barangan tertentu yang berkaitan dengan pelbagai aspek penjagaan diri.
Perasmian acara berkenaan telah diadakan kelmarin di mana, Ketua Perniagaan Guardian, Jennifer Yang dalam ucapannya menjelaskan bahawa atas permintaan pasaran, pada tahun ini, Guardian berhasrat untuk memacu nilai kepimpinan yang mana mereka ingin menawarkan harga terbaik dan terendah bagi para pelanggannya agar mereka kelihatan dan merasa lebih baik meskipun tanpa kos yang membebankan.
Beliau menambah bahawa dengan mengambil kira kepantasan inovasi teknologi masa kini, Guardian Brunei sangat mengambil berat dalam memastikan semua pembeli dapat berbelanja dengan baik dan memberikan tawaran yang terbaik.
Sepanjang acara Hari Kecantikan berkenaan, pelanggan berbelanja sekurang-kurangnya $50 dalam satu resit juga berpeluang mendapat solekan secara percuma oleh jurusolek profesional.
Sementara itu, pakar kulit turut berada pada acara tersebut bagi memberikan nasihat kepada sesiapa yang ingin mengetahui mengenai penjagaan diri dan kesihatan serta kecantikan.
Turut diadakan ialah demonstrasi solekan oleh duta Guardian Brunei yang juga merupakan seorang artis mekap tempatan, Karen Then.
Empat permainan juga disediakan pada acara berkenaan seperti ‘Lip Colour Challenge’, ‘Mind the Mascara’, ‘Wheel of Lipsticks’ dan ‘Box of Beauty’ yang turut menawarkan lebih 5,000 hadiah untuk dimenangi sepanjang dua hari acara.






























