LONDON, 25 MEI – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola telah dinamakan sebagai pengurus terbaik tahunan oleh Persekutuan Pengurus-pengurus Liga England, yang diumumkan kelmarin.
Guardiola mengemudi City untuk menjulang piala Liga Perdana Inggeris dan Piala Liga musim ini dan pada Sabtu pasukannya akan memburu untuk dinobatkan sebagai Raja Eropah buat kali pertama apabila mereka bertemu seteru rapat, Chelsea di aksi final Liga Juara-Juara di Porto.
Bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich, Guardiola memenangi undian di mana dia mendahului pesaing lain seperti pengurus Leeds United, Marcelo Bielsa, pengurus Norwich, Daniel Farke, jurulatih pasukan wanita Chelsea, Emma Hayes, ketua jurulatih David Moyes serta pengendali Leicester City, Brendan Rodgers.
“Saya gembira kerana memenangi Anugerah Pengurus Terbaik Tahunan LMA buat kali kedua,” kata Guardiola.
“Bagi saya ia adalah trofi yang sangat istimewa kerana ia diundi oleh rakan pengurus yang lain, anugerah seperti ini hanya boleh berlaku jika pengurus di sekeliling adalah golongan profesional.
“Pemain saya beraksi dengan luar biasa – mereka memberikan dedikasi dan bersikap profesional, malahan dalam musim yang sangat mencabar pernah kami harungi,” tambah pengurus berusia 50 tahun, yang ibunya telah meninggal dunia akibat koronavirus.
“Dan kakitangan saya juga layak untuk mendapat penghargaan yang tinggi. Saya merasa beruntung kerana memiliki pasukan yang pemainnya memberikan segala-galanya setiap hari bagi memastikan Manchester City menjadi pasukan terbaik.
“Anugerah ini didedikasikan dan dikongsikan bersama mereka.”
Alex Ferguson, bekas pengurus Manchester United dan kini ahli jawatankuasa LMA, memberikan penghargaan kepada Guardiola dengan berkata, ”Selain daripada menjadi seorang yang berbakat, anda sentiasa mempamerkan sikap profesional dan saya berasa yakin keluarga anda mesti sangat berbangga dengan anda.” – AFP
