LONDON, 20 APRIL – Pep Guardiola enggan memberi respons kepada laporan mengatakan Manchester City hampir mencapai perjanjian untuk pemain penyerang Borussia Dortmund, Erling Haaland.
City dilaporkan akan membayar klausa pelepasan berjumlah AS$81 juta dalam kontrak Haaland di Dortmund selepas bersetuju secara peribadi dengan ejen antarabangsa Norway itu pada minggu ini.
Dikatakan bahawa perjanjian Haaland dengan City akan termasuk gaji mingguan sebanyak 500,000 pound seminggu.
Pemain berusia 21 tahun itu adalah salah seorang pemain paling popular dan juga telah dikaitkan dengan Real Madrid.
Sementara itu, semasa ditanya kemungkinan mendapatkan Haaland, Guardiola tidak berminat dengan spekulasi tersebut apabila dia bercakap kepada pemberita kelmarin.

“Tiada jawapan kepada soalan awda,” katanya menjelang pertembungan Liga Perdana hari ini dengan Brighton.
“Saya mempunyai kebimbangan dan urusan lain dalam fikiran saya sekarang daripada memikirkan apa yang akan berlaku dalam kelab ini pada musim depan,” tambahnya.
Pendahulu Liga Perdana, City kekurangan pemain penyerang utama musim ini berikutan pemergian penjaring terbanyak, Sergio Aguero pada tahun lalu.
Selepas gagal dalam percubaan berprofil tinggi untuk menandatangani Harry Kane dari Tottenham tahun lalu, Haaland akan memenuhi syarat sebagai pemain berbahaya yang diperlukan pasukan City.
Tetapi dengan City di tengah-tengah pergelutan untuk mengekalkan kejuaraan Liga Perdana dan memenangi mahkota Liga Juara-juara pertama, Guardiola berminat untuk fokus pada masa kini dan bukannya perjanjian masa depan.
City sekarang mengejar pasukan Reds disebabkan kedudukan mereka berada dua mata di belakang Liverpool dalam Liga Perdana selepas Liverpool mengalahkan Manchester United kelmarin. – AFP