Guardiola gusar tanpa Aguero

LONDON, 27 JULAI – Pengurus Manchester City Pep Guardiola mengatakan semalam bahawa Sergio Aguero mungkin tidak dapat beraksi untuk perlawanan Liga Juara-Juara menentang Real Madrid.

Pasukan Guardiola akan berdepan Real dalam pusingan kedua peringkat 16 akhir mereka pada 7 Ogos ini, ketika mereka berusaha mempertahankan kedudukan 2-1 dari pertemuan pusingan pertama di Sepanyol.

Aguero diketepikan sejak 22 Jun lalu kerana mengalami kecederaan lutut yang memerlukan pembedahan di Barcelona.

Awal minggu ini, Guardiola telah menaruh harapan agar penjaring terbanyak sepanjang masa City itu dapat kembali untuk perlawanan di Stadium Etihad menentang Real.

Tetapi, setelah City menang 5-0 ke atas Norwich pada hari terakhir musim Liga Perdana Inggeris, Guardiola kurang yakin dengan penyerang Argentina itu untuk menghadapi juara Sepanyol itu. – AFP

Reaksi David Silva dari Manchester City berjabat tangan dengan pengurusnya, Pep Guardiola di perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Manchester City dan Norwich City di Stadium Etihad di Manchester, England, semalam. – AP