Guardiola nafi kenyataan media China

HONG KONG, 23 JULAI – Bos Manchester City, Pep Guardiola hari ini membidas laporan yang dikeluarkan dalam media China sebagai ‘palsu’ selepas juara Liga Perdana itu dituduh menunjukkan kelakuan yang tidak menunjukkan rasa hormat ketika mengadakan lawatan mereka ke China.

Guardiola menyuarakan komen panjang yang disiarkan di laman web berbahasa Inggeris Xinhua, agensi berita negara itu, yang mengatakan bahawa Manchester City menyerang peminat dan hanya melawat China atas alasan komersial.

“Saya tidak bersetuju tetapi saya juga harus mengatakan bahawa ia adalah berita palsu. Untuk membuat kenyataan seperti ini, mereka perlu tahu apa yang berlaku di kelab kami,” kata Guardiola kepada media di Hong Kong.

“Saya tidak faham bagaimana mereka boleh mengatakannya. Mungkin seorang wartawan agak kecewa, saya tidak tahu kenapa, tapi ia jauh daripada realiti,” katanya. Sebahagian pendapat, yang menuduh City bersikap angkuh dan mengecam pada pengaturan media Cina, membawa kesukaran mereka untuk meneruskan jelajah mereka di tanah besar China.

City, yang sebahagiannya dimiliki oleh syarikat pelaburan di China, tiba dua hari lewat dan beraksi pada dua perlawanan dalam tempoh empat hari, sebelum berlepas ke Hong Kong dan Jepun bagi perlawanan persahabatan.

“Kami datang ke sini dalam perjalanan selama 23 jam. Selepas sehari berlalu, kami pergi dengan kereta api dalam perjalanan selama dua jam untuk beraksi di bandar lain, kemudian kembali ke Shanghai dan sekarang di sini, dan kemudian kami ke Tokyo,” kata Guardiola.

“Dan kami selalu mempamerkan senyuman kami, kami tidak tidur nyenyak pada waktu malam tetapi kami mempunyai sesi latihan yang baik. Saya kagum dengan semua pemain saya, itulah apa yang telah mereka lakukan setakat ini.”

Penyerang England, Raheem Sterling berkata, dia merasakan para pemain telah membuat ‘hubungan yang sangat baik’ dengan peminat ketika mereka berada di China. – AFP

Guardiola memberi arahan kepada pemain semasa perlawanan menentang Wolverhampton Wanderers di Stadium Hongkou, Shanghai, pada 20 Julai lalu. – AFP