Guardiola puji De Bruyne pemain tengah terbaik dunia

LONDON, 11 SEPT – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, memuji Kevin De Bruyne sebagai pemain tengah terbaik di dunia menjelang musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain perancang City, De Bruyne dinobatkan sebagai pemain Profesional Footballers’ Association’s tahun ini pada minggu ini selepas musim 2019/20 yang luar biasa, di mana dia mencatat rekod EPL dengan 20 assist.

“Dia adalah pemain kelas luar biasa, salah seorang pemain terbaik yang pernah saya latih dalam hidup saya,” kata Guardiola dalam sebuah dokumentari baharu mengenai karier De Bruyne, Made in Belgium, oleh City TV.

“Sekarang, dia adalah yang terbaik. Sekarang, di posisi tengah, dia adalah yang terbaik.”
Bekas kapten City, Vincent Kompany percaya Guardiola telah menjadi pengurus yang sempurna untuk De Bruyne.

City memenangi dua gelaran EPL dan empat piala domestik utama, terkenal dengan gaya permainan intensiti tinggi dan kemas, sejak Pep tiba di Stadium Etihad pada tahun 2016.

De Bruyne, menyertai City dari Wolfsburg setahun sebelum kedatangan Guardiola, juga merasakan gaya permainannya sangat sesuai.

Pemain berusia 29 tahun itu, yang juga telah menjaringkan 16 gol dalam semua perlawanan musim lalu, berkata “Bagi saya, gaya bermain adalah yang paling penting. Saya suka bermain bola sepak dengan cara yang kita lakukan, menyerang dan intensiti yang tinggi.

“Sebagai pemain, anda perlu mencari pasukan atau gaya permainan yang sesuai dengan anda. Akhirnya anda perlu menikmati apa yang anda lakukan dan jika anda menikmatinya anda akan bermain lebih baik.” – AFP

Aksi Kevin De Bruyne ketika menga-wal bola semasa perlawanan antara Belgium dan Iceland di Stadium King Baudouin di Brussels pada 8 September. – AFP