Thursday, April 24, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guardiola risau Gundogan cedera lagi

    LONDON, 21 Sept – Pep Guardiola mengharapkan Ilkay Gundogan tidak lama tersisih apabila bintang Manchester City itu sekali lagi mengalami kecederaan selepas baru saja pulih daripada kecederaan lutut yang serius.

    Leroy Sane meledak dua kali untuk membantu City menang 2-1 ke atas West Bromwich Albion dalam saingan Piala Liga Inggeris awal pagi tadi, tetapi kemenangan itu dicacatkan dengan kecederaan yang menimpa Gundogan pada babak kedua permainan.

    Pemain tengah Jerman ini memulakan aksi pertama sejak Disember lalu selepas pulih daripada kecederaan serius ligamen lutut.

    Apabila Gundogan jatuh akibat terjahan dari belakang oleh Claudio Yacob, pemain ini mungkin akan menderita sekali lagi akibat satu lagi kecederaan serius.

    Gundogan akan menjalani ujian imbasan di lutut kiri dan jelas kelihatan dia begitu sakit ketika dibawa keluar padang, namun Guardiola menjangkakan pemain ini akan kembali beraksi dalam tempoh terdekat.

    Sebelum ini, Gundogan terpaksa berehat panjang akibat kecederaan di lutut kanan.

    “Saya fikir ia tidak serius. Ia bukannya lapan bulan tetapi kecederaan ringan. Malangnya, aksi tadi begitu sengit. Diharapkan dia akan kembali dalam masa terdekat,” kata Guardiola.

    “Esok kami akan menjalani ujian. Doktor dan fisioterapi memaklumkan kepada saya, ia (kecederaan) bukan isu besar.

    “Saya akan meneliti semula (terjahan Yacob). Terjahan dari belakang tetapi saya tidak pasti dia menyentuh bola atau tidak. Saya belum melihat rakaman. Diharapkan Gundogan akan kembali.

    “Saya bersimpati dengannya. Dia terbaring di padang dan pada ketika itu, kamu akan mula memikirkan perkara yang buruk.

    “Kamu tidak boleh bayangkan, untuk lapan bulan, berjuang bersendirian setiap hari,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda