Guardiola: Tiada pembelian baharu Januari ini

LONDON, 22 DIS – Penyerang Manchester City terpaksa mencari semula sentuhan mereka untuk menjaringkan gol kerana kelab menegaskan mereka tidak akan membuat sebarang pembelian pada Januari, menurut pengurus Pep Guardiola.

Guardiola menjelaskan bahawa meskipun kelab dimiliki oleh pemilik mereka dari Abu Dhabi, City turut mengalami tekanan kewangan yang sama dengan pesaing mereka disebabkan oleh kesan pandemik koronavirus.

City hanya menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan terakhir mereka dalam liga tetapi berharap untuk mengalu-alukan kembali penyerang dari Brazil, Gabriel Jesus untuk pertemuan Piala Liga suku akhir menentang Arsenal.

Walau bagaimanapun, pemegang rekod penjaring terbanyak Piala Liga, Sergio Augero masih diketepikan disebabkan oleh isu yang tidak didedahkan selepas mengalami kecederaan lutut dan masalah kesihatan musim ini.

Ditanya mengenai prospek pembelian baharu, Guardiola menjawab, “Tidak, saya rasa ia tidak akan berlaku kerana situasi ekonomi di seluruh dunia ketika ini.

“Semua kelab sedang bergelut – kami tidak terkecuali.”

City ketinggalan lapan mata dari pasukan juara, Liverpool selepas 14 perlawanan ketika mereka cuba merampas kembali kejuaraan dari pasukan Jurgen Klopp yang dimenangi mereka musim lalu.

Guardiola berkata kekurangan gol memberi masalah buat mereka untuk mengejar Liverpool tetapi dia berharap City akan lebih mengancam menentang pasukan bergelut, Arsenal.

“Kami mencipta peluang yang nyata tetapi gagal menjaringkan gol dan perkara ini akan sentiasa memberi masalah kepada kami,” katanya.

“Sebab itu saya tidak dapat mengatakan bagaimana kami akan berakhir pada musim ini.

“Perlawanan demi perlawanan itulah perkara yang boleh saya lakukan dan kini kami akan pergi ke London dan bermain menentang Arsenal di Piala Liga.” – AFP