Saturday, January 25, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guardiola tidak akan tinggalkan City untuk kelab lain

    LONDON, 11 DIS – Pep Guardiola berkata bahawa beliau tidak akan berkhidmat untuk kelab lain selepas mengakhiri perkhidmatannya sebagai pengurus Manchester City, walaupun beliau membuka kemungkinan untuk melatih pasukan kebangsaan.

    Tidak lama selepas menandatangani lanjutan kontrak pada bulan November, Guardiola memberikan satu wawancara di Manchester kepada cef selebriti Sepanyol, Dani Garcia, yang memuat naik perbualan itu di saluran YouTube beliau.

    “Saya rasa ini sudah cukup. Saya akan berhenti. Saya tidak akan mengambil pasukan lain,” kata Guardiola. “Saya tidak bercakap tentang masa depan jangka panjang, tetapi apa yang saya tidak akan lakukan ialah meninggalkan Man City, pergi ke negara lain, dan melakukan perkara yang sama seperti sekarang.

    “Saya tidak akan mempunyai tenaga. Fikiran untuk memulakan sesuatu di tempat lain, semua latihan dan sebagainya. Tidak, tidak, tidak! Mungkin pasukan kebangsaan, tetapi itu berbeza.”

    “Saya mahu berhenti dan bermain golf, tetapi saya tidak boleh. Saya rasa berhenti akan memberi manfaat kepada saya.”

    Guardiola sebelum ini pernah menyatakan minat untuk melatih di peringkat antarabangsa pada kemudian hari dalam kerjayanya.

    “Itu berbeza. Ia bukan (latihan) setiap hari, (bermain) setiap tiga hari,” katanya. “Untuk berehat, untuk melihat apa yang telah kami lakukan, apa yang boleh kami lakukan dengan lebih baik, kerana dalam rutin harian, kami tidak banyak masa untuk berehat.”

    Dalam perbualan yang turut merangkumi cita rasanya dalam makanan dan falsafah hidup, Guardiola memberitahu Garcia bahawa sejak awal kerjayanya, beliau telah berhasrat untuk suatu hari nanti mempunyai masa untuk belajar bahasa Perancis, bermain golf dan belajar memasak.

    “Berhenti akan memberi manfaat kepada saya.” – AFP

    Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, semasa sesi latihan di Akademi Bolasepak City, Manchester, England, pada 10 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda