Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gudang meletup ragut 1 nyawa, ratusan cedera

    TASHKENT, 28 SEPT – Satu letupan kuat berlaku di sebuah gudang di ibu negara Uzbekistan, Tashkent dan mencetuskan kebakaran, lapor Sputnik, memetik Kementerian Kecemasan Uzbekistan hari ini.

    “Hari ini, 28 September, pukul 2:43 pagi, unit Kementerian Kecemasan yang bertugas menerima laporan letupan dan kebakaran berlaku di sebuah gudang yang terletak di wilayah kompleks ‘Stroitel’ di daerah Sergeli di bandar Tashkent,” kata kementerian itu di Telegram.

    Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan 16 jentera bomba telah dihantar ke lokasi kejadian.

    Kementerian itu menafikan laporan bahawa nahas pesawat didakwa menyebabkan letupan berkenaan.

    “Berita palsu tersebar di beberapa media sosial bahawa kejadian di daerah Sergeli disebabkan nahas pesawat. Maklumat ini tidak benar…,” kata kementerian itu dalam satu hantaran lain.

    Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Uzbekistan berkata terdapat kemalangan jiwa dalam kejadian itu, sambil menambah mereka yang cedera dibawa ke hospital.

    “Seorang remaja yang dilahirkan pada 2006 meninggal dunia,” kata kementerian kesihatan Uzbekistan di Telegram, sambil menambah bahawa 162 lagi telah cedera.

    Kementerian Situasi Kecemasan Uzbekistan berkata kilat yang kuat telah menyebabkan ‘letupan, kemudian kebakaran, yang masih menyala’ di sebuah gudang di zon lapangan terbang.

    Daripada mereka yang mengalami kecederaan dalam kemalangan itu, 138 cedera ringan dan 24 lagi masih di hospital dalam keadaan lebih serius, kata kementerian kesihatan. – Bernama/AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda