Guinea senaraikan Keita

JOHANNESBURG, 13 JUN – Guinea menyenaraikan pemain tengah Liverpool, Naby Keita (gambar bawah) bagi menghadapi Piala Negara Afrika di Mesir bulan ini walaupun masih dibelenggu kecederaan paha.

“Saya belum cergas sepenuhnya untuk beraksi,” kata bintang berusia 24 tahun itu kepada TV Guinea selepas jurulatih dari Belgium, Paul Put menyenaraikannya dalam skuad 23 pemain menghadapi kejohanan berprestij Afrika itu.

“Selepas menjalani latihan bersama Liverpool, saya tiba di kem latihan Guinea di Maghribi dan sedia berlatih bersama pasukan.

“Saya mahu meyakinkan penyokong Guinea, jurulatih dan rakan sepasukan bahawa saya sedia untuk aksi pertama.”

Guinea yang tewas aksi pemanas badan menentang Gambia dan Benin memulakan kempen Kumpulan B menentang Mesir di Madagascar pada 22 Jun sehari selepas kejohanan bermula. Keita tercedera ketika Liverpool menentang Barcelona dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara bulan lalu dan pengurus, Jurgen Klopp mengetepikannya selama dua bulan.

Guinea dan juara tiga kali, Nigeria menjadi pasukan pilihan mara ke peringkat kalah mati dalam kumpulan yang turut dihuni pendatang baharu, Burundi dan Madagascar. – AFP