Guingamp tumbangkan PSG

PARIS, 10 Jan – Paris Saint-Germain (PSG) menyaksikan rekod 43 kemenangan berturut-turut pada saingan piala domestik berakhir apabila anak buah Thomas Tuchel mengalami kekalahan mengejut 1-2 di laman sendiri kepada kelab tercorot Ligue 1, Guingamp pada suku akhir Piala Liga Perancis, hari ini.

Pelawat dihadiahkan tiga sepakan penalti di Stadium Parc des Princes pada separuh masa kedua yang penuh dramatik tatkala PSG gagal dalam usaha mereka untuk melakar kejuaraan Piala Liga kali keenam berturut-turut.

Ia adalah kekalahan kedua dalam semua pertemuan musim ini buat kelab gergasi itu, selepas kalah 2-3 di tangan Liverpool di Anfield pada saingan Liga Juara-juara, September lalu.

Guingamp, yang hanya menang dua perlawanan liga sepanjang musim, menyertai Monaco, Strasbourg dan Bordeaux mara ke separuh akhir.

“Kami datang ke sini untuk menang dan kami sedar ia tidak mudah di sini,” kata Marcus Thuram, anak lelaki kepada juara Piala Dunia 1998, Lilian Thuram, yang menjaringkan gol kemenangan.

Pemain tengah Guingamp, Ludovic Blas (kiri) ketika bersaing merebut bola dengan pemain pertahanan PSG pada saingan yang berlangsung di Stadium Parc des Princes, kelmarin. – AFP

“Kami tahu dalam saingan piala boleh berlaku apa saja… kami tahu bagaimana untuk menghalang PSG.”

Neymar memecah kebuntuan pada minit ke-63 namun Guingamp bangkit menyamakan kedudukan mereka menerusi sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Yeni Ngbakoto pada minit ke-81 sebelum Thuram meledak penalti pada minit ketiga masa kecederaan.

“Kami bermain terlalu yakin, kami tidak bersungguh-sungguh untuk mengakhiri perlawanan,” kata jurulatih PSG, Tuchel.

“Terlalu sukar kalah dengan tiga sepakan penalti. Saya berang dengan jaringan kedua, saya boleh melihat VAR 100 kali, ia jelas bukan penalti.”

Tuchel menamakan kesebelasan utamanya termasuk Kylian Mbappe, Neymar dan Angel Di Maria, namun skuad kendaliannya itu gagal melakar jaringan pada sepanjang pertemuan itu. – AFP