Friday, January 24, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gukesh Dommaraju juara dunia catur termuda

    NEW DELHI, 13 DIS – Remaja India, Gukesh Dommaraju, menjadi juara dunia catur termuda kelmarin selepas menewaskan juara bertahan, Ding Liren dari China, dalam perlawanan akhir siri mereka di Singapura. 

    Dommaraju, 18 tahun, mengumpul 7.5 mata berbanding 6.5 mata pesaingnya dari China, melepasi pencapaian Garry Kasparov dari Rusia yang memenangi gelaran tersebut pada usia 22 tahun. 

    Bintang muda India itu telah lama dianggap sebagai bintang catur yang sedang meningkat selepas menjadi Grandmaster catur pada usia 12 tahun. Beliau memasuki perlawanan itu sebagai pencabar termuda dalam sejarah gelaran dunia selepas memenangi kejohanan Calon awal tahun ini. 

    Selepas meraih kemenangan, Dommaraju menitiskan air mata dan mengangkat tangannya sebagai tanda kegembiraan. 

    “Saya telah bermimpi tentang detik ini selama 10 tahun. Saya gembira kerana saya berjaya merealisasikan impian itu,” katanya kepada pemberita selepas kemenangannya.

    Dommaraju kini menjadi pemain India kedua yang memenangi gelaran tersebut selepas lima kali juara dunia catur, Viswanathan Anand. 

    “Ia adalah detik yang membanggakan untuk catur, detik yang membanggakan untuk India… dan bagi saya, ia adalah detik kebanggaan peribadi,” kata Anand, yang merupakan mentor kepada Dommaraju, dalam satu kiriman di X. 

    Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengucapkan tahniah kepada remaja berusia 18 tahun itu atas “pencapaian luar biasa” beliau, menyifatkan ia sebagai “hasil daripada bakat yang tiada tandingan, kerja keras, dan tekad yang tidak goyah.” 

    “Kejuaraannya bukan sahaja mengukir namanya dalam sejarah catur, tetapi juga telah memberi inspirasi kepada jutaan minda muda untuk bermimpi besar dan mengejar kecemerlangan,” kata Modi dalam satu kiriman di X. 

    Perlawanan kelmarin itu adalah acara catur klasik 14 pusingan dengan hadiah wang bernilai AS$2.5 juta. – AP

    Dommaraju Gukesh dari India berhadapan dengan Ding Liren dari China dalam Permainan 14 Kejohanan Catur Dunia FIDE 2024 di Singapura pada 12 Disember. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda