Gula-gula getah sebagai seni kitar semula

LONDON – Meniarap di jambatan kaki yang merangkumi Sungai Thames di London, Ben Wilson menyelesaikan penciptaan terbaharunya: lukisan kecil pada gula-gula getah, yang melekat di struktur besi.

Lelaki Inggeris berusia 57 tahun itu telah mengelilingi ibu negara Britain itu sepanjang 15 tahun, mencari kemudian mengubah serta mengecat gula-gula getah buangan di kawasan tersebut menjadi hasil seni.

Tetapi itu bukan sekadar hobi yang aneh. Wilson menganggapnya sebagai ‘bentuk seni’ dan usahanya mengitar semula.

“Saya mengubah sampah dan membuatnya menjadi bentuk seni, memastikan ia dikitar semula,” katanya kepada media ketika ditemui pada waktu pagi di Jambatan Millenium di balik bayangan gereja besar Saint Paul.

“(Ia) sesuatu yang jarang difikirkan dan cuba mengubahnya menjadi sesuatu yang positif,” tambah Wilson.

Ben Wilson kelihatan meniarap di jalan sepanjang Sungai Thames, di London sambil mereka dan mengecat bekas gula-gula getah yang dibuang oleh orang yang melalui jalan tersebut. – Agensi
Beberapa hasil ciptaan Ben Wilson yang direka dan diwarnakan pada gula-gula getah yang melekat di sekitar jambatan kaki berhampiran Sungai Thames di London. – AFP

Ciptaannya yang berwarna-warni, daripada sebesar syiling, boleh ditemui di sepanjang jambatan pejalan kaki dan di kawasan sekitarnya. Namun jika orang ramai tidak melihatnya dengan teliti, mereka mudah sahaja terlepas pandang.

Kebanyakan hasil seni kecil itu mewakili gereja besar yang terkenal di sekitarnya, sementara yang lain berwarna terang dan berwarna-warni.

Bermula dari utara London, Wilson memulakan ukiran kayu, sebelum beralih kepada gula-gula getah.

Selama bertahun-tahun, melakukan hobinya yang aneh itu, dirinya diberikan gelaran ‘chewing gum man’ – satu nama samaran yang dipegang penuh olehnya.

Dia akan berhati-hati agar tidak membuat lukisan di jambatan atau permukaan lain dan dituduh sebagai vandalisme oleh pihak berkuasa.

“Orang yang meludahkan gula-gula getah itu adalah orang yang mencipta kerosakan,” katanya.

“Sungguh menyedihkan dengan impak yang dilakukan oleh manusia pada persekitarannya, jumlah sampah yang kita buat.”

Dia menganggarkan dia telah melukis ribuan potongan gula-gula getah, dan beliau berbangga dapat menghasilkan ‘seni tersembunyi’ di seluruh pusat bandar London.

“Ia merupakan sesuatu yang baik untuk mencipta sesuatu daripada alam sekitar dan bukannya menjadi pencemar kepada alam sekitar,” katanya. – AFP