TOKYO, 17 NOV – Mahu menikmati gula-gula tanpa rasa? Rangkaian kedai serbaneka Jepun, Lawson telah melancarkan satu produk pelik baru-baru ini – gula-gula tanpa perisa. Menurut laporan Oddity Central, sama ada manis, masam, masin malah pedas, gula-gula sering dikaitkan dengan satu perisa. Sekurang-kurangnya sehingga sekarang, namun gula-gula tanpa perisa itu satu trend baharu kini.
Lawson, salah sebuah daripada rangkaian kedai serbaneka terbesar di Jepun pada masa ini sedang menguji sejumlah produk, termasuk gula-gula dinamakan Aji no Shinai? Ame (Tasteless? Candy) yang tampaknya tidak mempunyai rasa langsung.
Orang Jepun sendiri turut berkerut dahi memikirkannya, bayangkan sahaja menghisap gula-gula tetapi seperti tiada apa-apa.
Berdasarkan keterangan pada bungkusan gula-gula Aji no Shinai? Ame, ia mempunyai dua ramuan: pengganti gula-gula sintetik, polidextrose dan pengganti gula-gula organik, erythritol.
Kakitangan di SoraNews24, Jepun berjaya mendapatkan gula-gula itu dan terkejut kerana ia benar-benar tidak berperisa, cuma ada sedikit bau wangi. – Agensi