BELURAN, 21 Mac – Gua Gumantong di Kinabatangan merupakan gua terbesar untuk penternakan burung layang-layang secara semula jadi untuk menghasilkan sarang burung di negeri ini.
Pegawai Jabatan Hidupan Liar Sandakan Hussein Muin berkata di negeri ini terdapat 27 sistem gua untuk penternakan burung layang-layang secara semula jadi dengan dua lagi gua terbesar adalah Gua Madai di Kunak dan gua Batu Timbang di Kuamut.
Katanya sarang burung diperoleh dari gua Gumantong dan gua Batu Timbang adalah sarang burung jenis putih dan hitam, manakala gua Madai (sarang burung jenis hitam).
“Industri ini wujud disebabkan permintaan sarang burung yang semakin meningkat dan pasaran tinggi. Di Sabah industri ini hanya bermula pada lewat tahun 90-an yang dipelopori oleh negara jiran seperti Indonesia dan Thailand,” katanya.
Ketika menyampaikan taklimat kepada 21 Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Dewan Undangan Negeri Labuk di sini, semalam, Hussein berkata burung layang-layang yang menghasilkan sarang burung yang boleh dimakan adalah jenis ‘swiftlet’.

Menurutnya terdapat 34 spesies burung layang-layang di seluruh dunia dan di Sabah terdapat enam spesies, bagaimanapun hanya dua spesies daripada Famili Apodidae iaitu Aerodramus fuciphagus (sarang putih) dan Aerodramus maximus (sarang hitam) menghasilkan sarang burung yang boleh dimakan.
Hussein berkata dalam kitaran kehidupan, burung layang-layang terutama pada masa pembiakan, burung ini akan membuat sarang daripada air liur yang berbentuk separuh piring dengan ukuran lebih kurang lima sentimeter.
Beliau berkata bahagian penguatkuasaan Jabatan Hidupan Liar akan memastikan perkembangan penternakan burung layang-layang di negeri ini terkawal dan mematuhi perundangan serta peraturan semua agensi kerajaan yang berkaitan.
Katanya ini untuk memastikan aktiviti penternakan burung layang-layang ini tidak menjejaskan populasi burung layang-layang. – Bernama