Guna aplikasi untuk keselesaan pengguna

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Dalam sama-sama menjalankan tanggungjawab sosial, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi menyeru orang ramai untuk terus menggunakan perkhidmatan dalam talian dan melalui aplikasi mudah alih khususnya dalam perkhidmatan-perkhidmatan seperti membaharui lesen kenderaan dan lesen memandu antara lainnya.

Pihak kementerian telah memperkenalkan aplikasi mudah alih TransportBN yang mana antara objektif utamanya adalah untuk memberikan keselesaan dan kemudahan kepada orang ramai tanpa perlu ke kaunter-kaunter perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) atau cawangan perkhidmatan pos khusus bagi membaharui lesen kenderaan dan lesen memandu.

Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof turut menyatakan bahawa setakat ini seramai 26,710 orang pengguna telah memuat turun aplikasi berkenaan.

Pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini, Yang Berhormat Dato berharap bahawa jumlah pengguna yang menggunakannya akan terus meningkat.

Walau bagaimanapun, tambah beliau, penggunaan aplikasi berkenaan masih di tahap rendah jika dibandingkan dengan potensi yang boleh diraih daripada penggunaannya atau secara dalam talian memandangkan terdapat 243,844 orang pemilik lesen memandu yang aktif di Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa setakat ini, seramai 16,085 orang telah membaharui lesen memandu dan lesen kenderaan secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi TransportBN dari Mac hingga Jun 2020 berbanding 3,440 orang dalam tempoh yang sama pada 2019, yang mana menunjukkan peningkatan menggalakkan, iaitu hampir lima kali ganda bagi permohonan yang diterima melalui TransportBN.

Sementara itu, bagi meningkatkan lagi perkhidmatan dalam talian dan keberkesanan penggunaan TransportBN, beberapa pembaikan telah dibuat antaranya, mulai 1 Julai tahun 2020 ini, orang ramai sudah boleh membaharui lesen memandu dan lesen kenderaan yang telah mansuh lebih sebulan dari tarikh mansuh melalui aplikasi mudah alih berkenaan yang mana fungsi terbaharu ini telah membolehkan orang ramai membuat pembayaran caj bayaran lewat (late penalty charges) secara dalam talian.

Mesej pesanan ringkas akan dihantar secara berperingkat-peringkat bagi menggalakkan orang ramai untuk terus menggunakan aplikasi TransportBN yang boleh dimuat turun melalui Google Play bagi para pengguna Android dan App Store bagi para pengguna iOS.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menyeru orang ramai untuk terus menggunakan perkhidmatan dalam talian dan melalui aplikasi mudah alih. – Gambar oleh Syahmi Hassan