Guna bahasa yang elok dalam media sosial

Dalam era globalisasi ini, peranan teknologi informasi dan komunikasi sangat berpengaruh dalam aktiviti harian seseorang tidak mengira umur sama ada golongan muda mahupun yang tua.

Dengan teknologi informasi dan teknologi ini dapat membantu seseorang mencari dan memperoleh informasi yang mereka kehendaki semudah di hujung jari saja.

Ia memudahkan pengguna dalam perhubungan harian melalui penggunaan aplikasi dan laman media sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya.

Sehubungan itu, melalui medium ini seluruh orang di dunia ini mudah berhubung walaupun di mana saja berada. Namun, dalam masa yang sama peringkat umur pengguna juga tiada memiliki had, di mana golongan kanak-kanak juga terdedah dengan perkara-perkara yang tidak elok bagi peringkat umur mereka.

Contohnya, di laman-laman media sosial Facebook yang didasari dengan perkara yang berlaku di negara kita, bagi saya sendiri, ruangan ini memang cukup baik kerana memudahkan mendapatkan informasi yang berlaku di negara ini.

Walau bagaimanapun, sesetengah perkongsiannya tidak begitu elok untuk pengguna kanak-kanak yang membacanya, lebih-lebih lagi dari segi bahasa yang digunakan oleh yang mengongsi dan dari jawapan pengguna yang agak kasar dan tidak senonoh.

Kanak-kanak mungkin terikut-ikut dan terbiasa menggunakannya ketika bertutur, menulis dengan orang lain.

Pemantauan boleh dikatakan ya dan boleh juga tidak. Ibu bapa sudah memantau tetapi tidak mustahil kanak-kanak juga merahsiakan sesuatu dari ibu bapa mereka.

Justeru saya kira, bagi pengguna media sosial di negara ini kurangkan bahasa-bahasa kesat dan kasar di laman media sosial, mungkin kita merasa bahasa digunakan tidak kasar tetapi fikirkanlah pengguna yang lebih muda.

Awang