Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Orang ramai diingatkan untuk menggunakan hos jenis SS 233/BS 3212 dan regulator LPG yang telah disyorkan oleh pihak BSM dan memastikan untuk menukarnya apabila sudah mansuh.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menegaskan perkara itu setelah berlakunya insiden kebakaran sebahagian dapur yang melibatkan tambak dapur di Kampung Perpindahan Lambak Kanan, baru-baru ini.
Dalam kejadian tersebut, sembilan orang anggota dan dua buah jentera dari Balai Bomba Lambak Kanan bergegas ke tapak insiden berkenaan pada pukul 1:02 petang dan apabila tiba, api telah padam sebelum ketibaan pihak bomba.
Bagi memastikan keselamatan semua, anggota bomba segera mencabut kepala gas dan membawa alat pemadam api jenis debu kering bagi memastikan tidak ada tanda-tanda kebakaran berlaku lagi.
Dalam kejadian itu, anggaran jumlah kerugian masih dalam siasatan dan tidak ada kemalangan jiwa berlaku.
JBP turut mengingatkan untuk sentiasa memastikan semasa pemasangan hos dan regulator LPG tidak longgar selain memastikan kediaman dilengkapi dengan alat pemadam api dan selimut api.
Selain itu, jangan sesekali meninggalkan masakan di dapur tanpa diawasi dan jika terdapat kebocoran pada gas pastikan untuk membuka jendela dan pintu bagi pengudaraan.