Wednesday, March 19, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guna kaedah digital bendung COVID-19

    KUCHING, 20 MAC – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan menggunakan kaedah digital dalam menangani penularan jangkitan COVID-19 di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar bawah).

    Beliau yang juga Pengerusi JPBN berkata Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) akan membantu jawatankuasa itu dengan menggunakan pengesanan digital untuk mengesan sesiapa yang dikenal pasti perlu menjalani kuarantin di rumah dan pemetaan digital untuk mengenal pasti hotspot jangkitan penyakit itu. “Perkara ini adalah (perlu) untuk membantu mereka mematuhi syarat-syarat kuarantin yang ditetapkan (dan) mengelakkan daripada COVID-19 ini daripada terus merebak,” katanya dalam satu sidang media di Wisma Bapa Malaysia, di pusat pentadbiran negeri Petra Jaya di sini.

    Menurutnya SMA akan membekalkan jawatankuasa itu dengan kemudahan pemantauan menerusi aplikasi yang dibangunkannya, sementara individu yang perlu menjalani kuarantin akan dibekalkan dengan peranti pengesan.

    Pemetaan digital itu pula membolehkan jawatankuasa itu menjejak kembali lokasi-lokasi yang telah dikunjungi para penghidap COVID-19 di negeri ini supaya langkah pencegahan dapat diperketatkan lagi, katanya. Dalam pada itu, Uggah berkata Sarawak hari ini merekodkan tujuh lagi kes baharu positif COVID-19 bagi menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 58 kes.

    “Kesemua kes baharu ini dirawat di Hospital Umum Sarawak iaitu empat kes adalah dari kluster Ijtimak (yang menghadiri perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling), dua dari kluster gereja (Emmanuel Baptist Kuching) dan satu lagi masih dalam siasatan,” katanya.

    Beliau berkata JPBN Sarawak juga telah mengambil keputusan mengarahkan semua pengusaha kedai makanan segera seperti KFC, Pizza Hut dan Sugar Bun termasuk khidmat pandu lalu serta semua rangkaian pasar raya menghentikan operasi mereka pada 8 malam. Mengulas pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa mulai Ahad ini, anggota tentera akan membantu anggota polis bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan, Uggah berkata beliau yakin Kabinet Persekutuan telah mengambil kira maklum balas yang diterima dari setiap negeri sebelum membuat keputusan itu.

    “Kalau kita membandingkan apa yang berlaku pada 18 Mac (hari pertama penguatkuasaan perintah), nampaknya ada peningkatan dari segi pematuhan. Saya percaya Kuala Lumpur (Kabinet Persekutuan) akan membuat satu keputusan dari segi maklum balas yang didapati dari seluruh negara dan kita akan akur dengan apa jua keputusan yang dibuat,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda