Guna kartun untuk ceriakan negara dilanda perang

DAMSYIK – Bosan dengan suasana suram yang terakam dalam gambar-gambar di Syria yang dilanda perang, Mohammad Mozeh memutuskan untuk memasukkan watak kartun terkenal ke dalam imej tentang kehidupan seharian untuk menceriakan orang ramai di negara itu.

“Matlamat saya adalah untuk menjadikan realiti kelihatan lebih baik dan memberi pandangan positif kepada situasi yang kita lalui,” kata pereka grafik berusia 26 tahun itu kepada Xinhua.

Dia berharap dapat menambah sedikit tenaga positif pada gambar yang diambil di negaranya, untuk menunjukkan di tengah-tengah situasi yang sukar, ada ruang untuk sesuatu yang optimis dan indah.

Idea itu bermula di universiti, apabila dia biasa menambah watak kartun pada gambar kuliah yang membosankan. Secara beransur-ansur, idea itu memberi inspirasi kepadanya untuk memasukkan watak kartun ke dalam gambar kehidupan seharian yang diambil oleh dirinya atau orang lain, menjadikan foto itu lebih cerah dan menonjolkan wira-wira sebenar dalam masyarakat. Dan dia berkongsi gambar itu melalui akaun media sosialnya.

Dia meletakkan imej Cinderella di dalam bas penumpang yang sesak di ibu kota Damsyik. Dengan imej kartun di dalam bas, Mozeh mahu menyatakan walaupun orang dalam bas nampak letih dan lesu, mereka tetap cantik.

Dalam foto lain, Mozeh meletakkan mantel Superman di bahu seorang pengutip sampah, yang sedang membersih-kan jalan dalam cuaca sejuk. Dan dia menggambarkan Superman membantu seorang lelaki yang membawa tong gas memasak, dengan mengatakan pengutip sampah dan lelaki yang membawa silinder gas adalah wira sebenar di Syria.

“Saya mula mencari gambar yang mempunyai makna dan cuba menambah watak kartun padanya untuk mengukuhkan maksud foto itu. Kadangkala, watak itu juga mungkin mengalami penderitaan seperti Cinderella atau seseorang yang mempunyai kuasa seperti Superman,” katanya.

Dalam gambar lain, terdapat seorang lelaki berdiri di atas jambatan di Damsyik, meletakkan kepalanya di tangannya dengan keletihan yang sangat jelas dalam kedudukannya. Mozeh menyangka lelaki ini mahu jin mengabulkan beberapa hajat kepadanya. Dia menggambarkan jin biru yang terkenal dan mereka gambar tersebut seolah-olah jin itu sedang memeluk lelaki itu untuk memberi keselesaan kepadanya.

Pemuda itu berharap agar orang di Syria mula mencari perkara yang positif, mengukir senyuman di wajah mereka untuk cuba menjadikan hidup lebih mudah. Pada masa akan datang, Mozeh berharap dia dapat membuat video dengan kartun animasi untuk menjangkau lebih ramai orang. – Xinhua

Kelihatan Mohammad Mozeh mengambil gambar suasana di kota Damsyik, Syria. – Xinhua
Mohammad Mozeh mereka gambar yang diambilnya atau orang lain dengan memasukkan imej kartun di dalamnya. – Xinhua