Guna kemaluan palsu tipu pegawai anti doping

LOS ANGELES, 20 Mei – Bekas bintang NBA Lamar Odom (gambar bawah) mendedahkan telah menggunakan kemaluan palsu menipu pegawai anti doping sebelum bersaing bagi Amerika Syarikat pada Olimpik 2004, menurut memoir yang akan datang.

Bekas bintang Los Angeles Lakers berusia 39 tahun itu membuat pendedahan dalam autobiografi ‘Darkness to Light’ mendedahkan pergelutannya dengan dadah dan ketagihan seks.

Odom berkata dia panik dan takut gagal ujian dadah selepas dinamakan dalam pasukan AS untuk Sukan Olimpik 2004 di Athens.

“Kegembiraan dimasukkan dalam senarai 12 pemain lantas menjadi kebimbangan apabila para pegawai Olimpik memaklumkan bahawa saya perlu lulus ujian dadah sebelum menyertai pasukan secara rasmi,” kata Odom menurut petikan bukunya yang diterbitkan di People. com.

“Tidak semestinya saya akan lulus. Saya merokok setiap hari pada musim panas. Panik bermula,” tulis beliau yang lantas berpaling kepada Internet untuk mendapatkan penyelesaian.

“Kami memulakan pencarian kemaluan palsu di Google dan mengkaji pelbagai cara untuk mengatasi ujian dadah,” tulis beliau lagi sebelum menempah kemaluan palsu dalam talian.

Odom berkata dia menggunakan air kencing dibekalkan pelatihnya yang bebas dadah apabila seorang pegawai kawalan doping tiba di rumahnya.

Pegawai antidadah menyaksikannya dari jarak beberapa kaki semasa mengeluarkan sampel air kencing palsu.

“Dia melekatkan termometer pada cawan untuk mengukur suhu dan berpuas hati dengan sampel air kencing saya sambil berkata, ‘Selamat datang ke Team USA,’” tulis Odom dalam buku itu. – AFP