Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Guna kit ART dengan betul

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti arahan dalam kit ujian pantas antigen COVID-19 yang disertakan semasa melakukan saringan kerana adalah sangat penting untuk menggunakan jenis sampel yang betul.

    “Menggunakan jenis sampel lain boleh menyebabkan keputusan ujian tidak tepat atau tidak sah. Ia juga bagi memastikan jumlah sampel yang mencukupi digunakan untuk ujian.

    Jumlah sampel yang terlalu banyak atau terlalu sedikit boleh menyebabkan keputusan yang tidak tepat,” kongsi Pengarah Perkhidmatan Makmal di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Surita binti Haji Mohd Taib.

    Beliau berkata demikian semasa sesi temu bual bersama media tempatan mengenai PCR dan ART yang diadakan secara dalam talian melalui MS Teams oleh Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    Menurut Dr Hajah Surita, tidak ada satu ujian pun mempunyai ketepatan 100 peratus, namun yang penting adalah jika seseorang itu merasa ragu mengenai keputusan ART berkenaan, individu tersebut boleh mengulangi ujian dengan mengikuti arahan disediakan dalam kit ujian yang digunakan.

    Dr Hajah Surita semasa ditemu bual oleh media mengenai PCR dan ART, yang diadakan secara dalam talian melalui MS Teams oleh Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh James Kon

    Dr Hajah Surita juga menjelaskan bahawa jika seseorang individu itu kerap melakukan ujian ART dalam tempoh yang rapat, ia mungkin akan membawa kepada keputusan yang tidak tepat kerana terlalu banyak pensampelan telah dilakukan.

    Menurut beliau, individu itu boleh mendapat keputusan positif daripada ujian terdahulu tetapi dia mungkin negatif pada ujian lain kerana sampel daripada ujian kemudian tidak mempunyai antigen yang mencukupi untuk dikesan.

    Semasa temu bual tersebut, Dr Hajah Surita turut menyentuh mengenai kit ujian berjenama Newgene yang mempunyai reka bentuk pembungkusan yang berbeza.

    “Saya ada dimaklumkan oleh pembekal di Brunei bahawa pengeluar Newgene mempunyai pembungkusan yang berbeza untuk Malaysia dan Brunei. Pembekal yang telah diberi kebenaran oleh Kementerian Kesihatan mempunyai pembungkusan yang berbeza,” jelasnya.

    Oleh itu, Dr Hajah Surita berkata bahawa mereka tidak tahu sama ada kit itu palsu dan ia bergantung kepada prestasi kit ujian tersebut apabila ia diuji untuk jaminan kualiti.

    Pada sesi temu bual tersebut, beliau turut mengongsikan bahawa ujian PCR hanya boleh dilakukan oleh kakitangan kesihatan ataupun seseorang yang sudah terlatih, manakala ART pula boleh dilakukan sendiri oleh orang ramai sebagai ujian saringan dan juga pengawasan jangkitan COVID-19.

    Beliau juga mengingatkan orang ramai bahawa peng-gunaan ART sudah memadai bagi pengesanan ujian COVID-19. Orang ramai tidak perlu menjalani ujian PCR kerana PCR hanyalah dikhaskan bagi kes-kes dan keadaan yang tertentu sahaja.

    Di hujung temu bual tersebut, Dr Hajah Surita menekankan bahawa kerajaan telah menyediakan akses kepada kit ART untuk orang ramai dan Kementerian Kesihatan melalui Perkhidmatan Makmal akan menjamin kualiti ART yang terdapat di Brunei.

    “Kami akan terus menyebarkan maklumat yang dikemas kini kepada orang ramai untuk memastikan bahawa ART dilakukan dengan betul dan mengikut protokol kesihatan,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...