Guna kostum adiwira, kartun tarik minat murid ke sekolah

JOHOR BAHRU, 2 Jan – Ingin melihat murid gembira datang ke sekolah, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rengit, Batu Pahat, dan SK Taman Scientex, di sini, tampil dengan idea menggunakan kostum adiwira dan kartun untuk menyambut kedatangan murid.

Kostum ditampilkan SK Sri Rengit merupakan adiwira Ultraman manakala SK Taman Scientex menampilkan Mickey dan Minnie Mouse. Hasilnya, inisiatif berkenaan menjadi viral di media sosial selain mendapat sambutan baik daripada kalangan ibu bapa murid sekolah berkenaan.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Sri Rengit, Zizi Edrianna Mohd Arshad berkata idea terbabit timbul selepas perbincangan dalam kalangan guru yang mahukan kelainan untuk murid khususnya murid Tahun 1 dan prasekolah.

“Memang pihak sekolah ada melakukan sambutan terhadap murid baru setiap tahun… cuma, tahun ini kelainannya menggunakan kostum.

Dua orang guru berpakaian kostum animasi Ultraman menyambut murid-murid sekolah yang hadir pada hari pertama sesi persekolahan 2017 di Sekolah Kebangsaan Sri Rengit, Batu Pahat di Johor, kelmarin.  – Bernama
Dua orang guru berpakaian kostum animasi Ultraman menyambut murid-murid sekolah yang hadir pada hari pertama sesi persekolahan 2017 di Sekolah Kebangsaan Sri Rengit, Batu Pahat di Johor, kelmarin. – Bernama

“Alhamdulillah, kami mendapat maklum balas baik daripada ibu bapa dan murid-murid juga seronok bila lihat ‘Ultraman’ di sekolah,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Zizi Edrianna berkata perbincangan berkenaan diadakan melalui mesyuarat bersama 31 guru di bawah Program Penyayang dan mendapat persetujuan daripada guru besar sekolah.

Beliau berkata SK Sri Rengit mempunyai seramai 390 murid Tahun 1 hingga Tahun 6 dan 50 murid prasekolah.

Sementara itu, Guru Besar SK Taman Scientex, Ramlah Othman pula berkata, langkah menggunakan kostum dilihat bersesuaian dalam meningkatkan motivasi murid dan guru. – Bernama