Sunday, December 15, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guna mata wang kripto untuk jenayah

    BANGKOK, 18 Feb – Pihak berkuasa Thailand kini mula memberi lebih tumpuan kepada ‘dark web’ (laman web yang menyembunyikan alamat IP server) mata wang digital disebabkan peningkatan penggunaan mata wang kripto seperti Bitcoin oleh kumpulan penjenayah untuk menyembunyikan jejak transaksi wang haram mereka.

    Oleh kerana menyedari bahaya yang ditimbulkan oleh mata wang kripto yang sukar dikesan oleh penguatkuasaan undang-undang, Biro Anti Narkotik (NSB) telah melatih anggota penguatkuasanya mengenai selok-belok mata wang digital dan kesannya terhadap usaha memerangi sindiket dadah di negara itu.

    “Jika semua sindiket dadah beralih menggunakan Bitcoin untuk urus niaga dadah, usaha untuk menjejaki transaksi wang haram akan menjadi lebih sukar. Kami tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam buat masa ini mengenai Bitcoin, jadi ia sangat mencabar,” kata ketuanya Lt Jen Sommai Kongvisaisuk kepada Bernama di sini baru-baru ini.

    Menurut beliau, NSB hanya menangani satu kes melibatkan penggunaan mata wang kripto sebelum ini tetapi menjangka lebih banyak sindiket dadah tempatan akan mengikut jejak langkah sindiket dadah antarabangsa yang menjadi rakan mereka dalam menggunakan Bitcoin dan mata wang digital yang lain.

    Sementara itu, Sommai berkata satu-satunya kes dadah dan Bitcoin di Thailand melibatkan seorang lelaki warga Kanada tetapi beliau tidak mengulas lanjut.

    Walaupun penggunaan mata wang kripto oleh sindiket dadah di Thailand agak perlahan tetapi lain pula dengan sindiket pusat-pusat panggilan palsu yang juga menggunakan mata wang digital dan menjadikannya sebahagian daripada ‘modus operandi’ mereka .

    Menurut Polis Diraja Thailand, sindiket penipuan pusat panggilan palsu itu telah melabur sekurang-kurangnya 90 peratus daripada wang yang diperdayakan daripada mangsa ke dalam Bitcoin.

    “Sejak 8 Disember tahun lepas sehingga sekarang, kami mendapati bahawa sekurang-kurangnya 90 peratus (daripada wang mangsa hasil aktiviti penipuan) masuk ke dalam Bitcoin atau 20 juta Baht (RM2.6 juta) buat masa ini,” kata Jen Thanisak Teerasawat baru-baru ini.

    Beliau berkata pelaburan dalam Bitcoin adalah sebahagian daripada usaha oleh sindiket pusat panggilan tersebut untuk memindahkan wang mangsa dan mengelakkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

    Thanisak yang mengetuai pasukan petugas Thailand mengenai penipuan ekektronik sebelumnya mempengerusikan mesyuarat antara Polis, Kementerian Perdagangan, Pejabat Anti Pengubahan Wang Haram (AMLO) dan lima syarikat perniagaan Bitcoin. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda