Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Seramai 28 orang pegawai muda memulakan perjalanan mereka untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan melalui penyertaan dalam Program Eksekutif Muda (YEP) ke-8 yang bermula hari ini dengan majlis perasmian di Dewan Ittisal, Institut Perkhidmatan Awam (IPA), Rimba Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan ucapan perasmian ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Dr Norfarizal bin Othman.
Turut hadir ialah Pengarah IPA, Dr Hajah Noor Maya binti Haji Mohd Salleh.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dr Norfarizal merakamkan ucapan tahniah kepada para peserta YEP ke-28 dan mengingatkan mereka untuk menggunakan peluang yang diberikan untuk mengembangkan lagi kemahiran interpersonal dan kepimpinan mereka.
Beliau turut menyatakan bahawa kemahiran kepimpinan mampu dipelajari oleh para peserta menerusi program berkenaan serta bimbingan daripada mentor mereka.
Beliau mengetengahkan ciri-ciri kepimpinan bagi seorang pemimpin iaitu termasuk keupayaan membawa diri untuk sentiasa tenang apabila diberi tugasan, cerdas, mempunyai disiplin dan sikap yang positif, mempunyai keupayaan dan keyakinan diri untuk bekerjasama dengan ahli kumpulan yang lain, menghormati pendapat orang lain, saling bantu-membantu serta mempunyai kemampuan berkomunikasi dengan baik.
Ciri-ciri kepimpinan seperti itu, ulasnya, yang dicari dan dibentuk serta ditingkatkan lagi semasa mengikuti YEP ke-8 selain daripada memberikan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk memulakan kerjaya dan melaksanakan tugas dalam perkhidmatan awam.
Dr Norfarizal percaya dengan memberikan pegawai-pegawai muda dengan latihan yang betul, program yang disediakan itu boleh meningkatkan dan me-ngukuhkan lagi bakat dan potensi kepimpinan yang sedia ada. Program YEP bermatlamat untuk memupuk dan membangunkan pemimpin-pemimpin berpotensi dengan nilai tinggi dan tingkah laku positif, yang kemudiannya dapat mencapai keputusan yang diinginkan dan meningkatkan prestasi organisasi.
Ia memperkukuh keupayaan pemimpin masa depan bagi memenuhi keperluan orang ramai yang sentiasa berubah.
Program YEP merupakan kemasukan pertama ke dalam barisan kepimpinan perkhidmatan awam (CSLP) di bawah Rangka Kerja Perkhidmatan Awam di mana YEP pertama telah dijalankan pada 2017 di mana semua program berkenaan telah dikendalikan oleh IPA.
YEP ke-8 akan dijalankan selama 12 minggu yang me-rangkumi kemahiran membina pasukan dan kepimpinan penting dengan menumpukan kepada peraturan kerajaan serta juga kemahiran komunikasi dan pengurusan efektif.