Guna peminat ‘olok-olok’ sebagai penonton

LONDON, 9 JUN – Peminat Brighton masih boleh menyokong pasukan mereka walaupun mereka tidak dibenarkan masuk menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan meletakkan gambar potongan diri mereka di tempat duduk stadium.

Musim EPL dijadualkan disambung semula pada 17 Jun ini selepas rehat tiga bulan kerana wabak COVID-19.

Brighton mengikuti langkah-langkah kelab Bundesliga, yang telah mengisi tempat duduk penonton dengan peminat ‘olol-olok’ setelah perlawanan diadakan di belakang pintu tertutup.

Seagulls, yang kini berada dua mata di atas zon penyingkiran dengan hanya berbaki sembilan perlawanan sahaja lagi, bakal kembali beraksi menentang Arsenal pada 20 Jun ini.

“Kami meminta peminat untuk mengenakan pakaian kelab biru dan putih mereka dan mengirimkan gambar mereka untuk menjadi sebahagian daripada perlawanan musim ini yang akan dimainkan di Amex,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

“Dengan lima perlawanan terakhir musim 2019/20 berlangsung di belakang pintu tertutup, kelab menawarkan peluang kepada pemegang tiket dan ahli untuk memberi gambar potongan mereka sendiri.” – AFP