Guna pencetak 3D hasil pelindung muka

EDINBURGH, 29 MAC – Pemilik-pemilik pencetak 3D di seluruh Britain telah menyahut seruan para pemimpin kesihatan dengan bekerjasama untuk menghasilkan ribuan visor (pelindung) muka bagi melindungi kakitangan perubatan daripada dijangkiti koronavirus.

Projek itu yang dikenali sebagai 3DCrowdUK, dilancarkan pada Isnin selepas institusi perubatan memaklumkan mengenai kekurangan peralatan disebabkan penutupan kilang-kilang bekalan yang terjejas oleh virus.

“Kami umumkan telah mengumpulkan semua penduduk di seluruh negara itu yang mempunyai pencetak 3D dan kami menyenaraikan mereka dalam projek kami untuk mencipta pelindung wajah bagi NHS,” kata artis digital dan pemilik pencetak 3D, Seb Lee-Delisle kepada AFP.

“Kami telah menubuhkannya pada Isnin lalu dan sekarang kami sudah mengumpulkan ratusan orang yang terlibat.”

Kekurangan topeng wajah meningkat selepas kilang-kilang di China tutup disebabkan penularan koronavirus pada Januari dan Februari.

Topeng wajah mudah untuk dihasilkan. Sebaik saja pencetak 3D mencipta cekak kepala, filem plastik diletakkan di hadapan dan elastik dipasang di belakang untuk menahannya.

Syarikat-syarikat di seluruh UK telah menawarkan premis mereka sebagai hab pemasangan dan pengagihan bagi pelindung wajah tersebut.

Stephen Stewart, ketua pengkomputeran di Lochaber High School di barat Scotland, berkata dia mula mencetak pelindung muka selepas dia mendengar hospital tempatannya terdesak memerlukan visor untuk melindungi kakitangan perubatan daripada virus terbabit.

“Kebiasaannya ia mengambil masa dua jam untuk mencetak satu namun saya berharap untuk mengurangkannya yang mana kini rekaannya sudah sempurna,” katanya. – AFP

Jonathan Cano, 40, seorang sukarelawan CoronavirusMakers.org menyiapkan pencetak 3D untuk membuat pelindung muka di rumahnya di Santa Cruz de Tenerife pada 26 Mac. – AFP