Thursday, October 5, 2023
23.2 C
Brunei

    -

    Guna pendekatan bukan menindas terhadap masyarakat Rempang – Jokowi

    JAKARTA, 14 SEPT – Presiden Indonesia, Joko Widodo mengarahkan pasukan keselamatan untuk mengelakkan penggunaan kekerasan semasa berurusan dengan komuniti yang mengadakan protes, terutamanya mereka yang terlibat dalam Projek Strategik Nasional (PSN).

    Presiden yang dikenali sebagai Jokowi mengeluarkan arahan itu sebagai tindak balas kepada protes baru-baru ini oleh penduduk tempatan yang terjejas oleh proses penempatan semula projek Rempang Eco City di Batam, Wilayah Kepulauan Riau.

    Semasa berucap pada perasmian Forum Infrastruktur dan Ekspo Edutainment semalam, beliau menekankan kepentingan mengutamakan kesejahteraan penduduk.

    “Jangan menggunakan pendekatan menindas terhadap masyarakat,” katanya, sambil menekankan bahawa matlamat utama PSN adalah untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

    “Jika timbul isu segera cari penyelesaian, dan sekiranya berlaku salah faham, jelaskan dengan rakyat, terutamanya dengan mengambil kira perjanjian sedia ada berhubung pampasan,” kata Jokowi.

    Beliau juga menekankan penyelesaian sejumlah besar projek PSN sepanjang lapan tahun lepas, yang berjumlah 161 projek, yang telah mencipta peluang pekerjaan untuk 11 juta orang.

    Sementara itu, Polis Barelang mengenal pasti 34 daripada 43 individu yang ditahan sebagai suspek berhubung protes di pejabat Majlis Wilayah Zon Perdagangan Bebas dan Pelabuhan Bebas Batam (BP Batam).

    Kira-kira 1,000 penunjuk perasaan telah berkumpul di luar pejabat pada Isnin menentang pemindahan 16 kampung Melayu lama di Pulau Rempang. Ini mengakibatkan pertempuran ganas antara penunjuk perasaan dan polis.

    Menurut BP Batam, Pulau Rempang akan dibangunkan menjadi kawasan bersepadu untuk industri, perdagangan dan pelancongan bagi memacu pertumbuhan ekonomi wilayah tersebut.

    Projek yang meliputi kawasan seluas 17,000 hektar, merangkumi seluruh Pulau Rempang dan Pulau Subang Mas, akan dilaksanakan oleh PT Makmur Elok Graha.

    Rempang Eco City yang termasuk dalam PSN tahun ini dijangka akan menarik pelaburan bernilai AS$11.5 bilion dari Xinyi Glass Holdings Ltd, pengeluar kaca yang beribu pejabat di Hong Kong, China. – Bernama

    “Jika timbul isu segera cari penyelesaian, dan sekiranya berlaku salah faham, jelaskan dengan rakyat, terutamanya dengan mengambil kira perjanjian sedia ada berhubung pampasan,” kata Presiden Indonesia. – AP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Korea U ikrar tindak balas tegas terhadap laporan Pentagon

    SEOUL, 4 OKT - Korea Utara mengecam Amerika Syarikat (AS) berhubung laporan Pentagon, baru-baru ini yang menggelarkannya sebagai ancaman berterusan kerana senjata pemusnah besar-besaran...