Guna platform media sosial jual durian

BALIK PULAU – Musim durian di Balik Pulau sepatutnya bermula awal Mei ini, namun raja buah tersebut mula luruh ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berikutan itu, pengusaha-pengusaha kebun durian mula mengambil beberapa alternatif termasuk memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial dan aplikasi seperti WhatsApp dan WeChat bagi memasarkannya selain menawarkan khidmat penghantaran kepada pelanggan memandangkan pergerakan yang terhad sepanjang tempoh PKP.

Pemilik Dusun Durian Boa Sheng, Chang Teik Seng, 53, berkata terdapat 20 jenis buah durian dihasilkan daripada kira-kira 300 buah pokok yang ditanam di kebunnya di Sungai Pinang dan beliau menjangkakan buah tersebut mula luruh bermula awal Mei.

“Sepanjang lebih 30 tahun saya berniaga buah durian, ini kali pertama berlaku sebegini iaitu pelaksanaan PKP dan saya perlu ambil ia sebagai positif serta perlu teruskan perniagaan kerana buah durian akan mula luruh awal Mei, mungkin sampai Julai untuk musim kali ini.

“Cuma kali ini penggemar raja buah tak boleh datang terus makan di kebun saya tapi jangan risau kerana kami menyediakan khidmat penghantaran. Buah durian saya adalah organik kerana kami tidak menggunakan racun, jadi saya akan hantar di kedai organik yang telah kami pilih iaitu Pulau Tikus dan Bayan Baru,” katanya kepada media.

Pemilik Dusun Durian Boa Sheng, Chang Teik Seng, menunjukkan antara 20 jenis buah durian dihasilkan daripada kira-kira 300 buah pokok yang ditanam di kebunya di Sungai Pinang. – Bernama

Chang berkata pelanggan hanya perlu membuat tempahan menerusi laman web durian.com atau WhatsApp dan penghantaran akan dibuat di dua buah kedai tersebut untuk pelanggan mendapatkannya dalam keadaan segar kerana buah yang baru luruh sahaja akan terus dijual.

Katanya beliau tidak bercadang untuk menghantar terus ke rumah kerana mahu membendung penularan wabak COVID-19 malah beliau menggunakan perkhidmatan penghantaran sendiri dan bukan dengan mana-mana syarikat.

“Kami menawarkan pakej bermula RM100 bagi empat jenis buah durian yang siap dikupas serta diisi dalam bekas yang turut divakum malah dimasukkan dalam kotak yang boleh tahan sejuk sehingga lebih empat jam,” katanya.

Ditanya sama ada beliau menjangkakan akan berlaku kerugian pada musim durian kali ini, beliau yang sentiasa positif berkata kesihatan dan nyawa orang ramai lebih penting daripada duit hasil jualan duriannya malah perniagaan tersebut masih boleh diteruskan pada tahun hadapan.

Seorang lagi pemilik kebun durian, Ong Kim Huan berkata beliau akan menyediakan penghantaran durian ke rumah pelanggan dengan perkhidmatan penghantaran sendiri kerana itu antara cara terbaik menjual duriannya pada musim ini.

Dia berkata disebabkan pelanggan atau pembeli tidak boleh datang membeli di kedainya di Balik Pulau beliau mengambil alternatif menjual sendiri menerusi dalam talian dan WhatsApp sebelum menghantar kepada mereka dalam keadaan telah siap dikupas serta dimasukkan dalam bekas.

“Ada beberapa pelanggan telah mula hubungi saya bertanyakan tentang buah durian dan saya maklumkan kami akan jual menerusi dalam talian. Mereka sangat gembira dan teruja. Saya tidak sangka mereka mula mencari untuk beli durian sekarang ini,” katanya. – Bernama