Guna racun organik formula sendiri

PENDANG – Seorang peniaga daging dari Kampung Paya Kelubi di sini, mengusahakan tanaman anak pokok strawberi sebagai punca pendapatannya, setelah berjaya memformulasikan baja dan racun organik yang membantu pertumbuhan pokok itu dalam keadaan cuaca panas.

Zulkefli Zakaria, 54, berkata formulasinya yang hanya menggunakan bahan asas seperti bawang putih terbukti dapat mengawal serangga perosak serta memberi daya tahan penyakit kepada daun dan pokok strawberi yang ditanam di sekitar halaman rumahnya.

“Saya banyak menghasilkan anak pokok untuk jualan dan setakat ini hampir 1,000 pokok berjaya ditanam dalam polibeg dan saya akan meningkatkan jumlah tanaman anak pokok strawberi yang mendapat banyak permintaan,” katanya kepada Bernama.

Zulkefli berkata, tanamannya pernah gagal apabila 300 anak pokok strawberi varieti  Shogun, Camarosa dan Rainbow Treasure musnah diserang penyakit tahun lepas.

“Saya tak patah semangat dan buat kajian sendiri dan bertanyakan kawan-kawan dalam bidang sama dan akhirnya berjaya menemui formula cukup berharga itu yang saya guna sampai hari ini,” katanya yang memberitahu setiap anak pokok dijual antara RM15 hingga RM30 mengikut saiz serta jenis.

Kaedah masih baharu

Menurut Zulkefli, kaedah tanaman strawberi di tanah rendah masih baharu dan ianya membuka lebih peluang kepada anak muda untuk menceburi bidang yang sangat menguntungkan itu.

“Penjagaannya tidak rumit, hanya perlu pastikan kelembapan tanahnya mencukupi dan disiram sehari sekali, dan diletakkan baja organik sekali seminggu serta semburkan racun organik pada daun dan batang jika diserang kutu trip (serangga perosak). Tanaman ini juga mampu bertahan sehing-ga tiga tahun dan mengambil masa antara 50 sehingga 70 hari untuk berbuah,” katanya yang bersedia berkongsi ilmu tanaman strawberi dengan orang ramai.

Selain itu, Zulkefli berkata beliau sentiasa membuat kajian sendiri serta mengikuti kursus tanaman bagi mendalami bidang tanaman strawberi. “Saya juga berhasrat membuka pusat jualan anak pokok strawberi berdekatan rumah, selain pokok buah-buahan lain yang mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai,” katanya.

Beliau juga memohon bantuan dari Jabatan Pertanian bagi membina  rumah pelindung hujan untuk  menambah baik proses penanaman pokok-pokoknya. – Bernama

Zulkefli Zakaria, 54, menunjukkan anak pokok strawberi yang ditanam di sekitar halaman rumahnya di Kampung Paya Kelubi. – Bernama
Sebanyak 1,000 pokok strawberi berjaya ditanam di halaman rumahnya walaupun dalam keadaan cuaca panas hingga menjana pendapatan kira-kira RM6,000 sebulan sejak ianya diusahakan setahun lalu. – Bernama