Guna saluran betul

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Para ibu bapa dan penjaga dinasihatkan bahawa sebarang kewahaman, kegusaran atau aduan mengenai perkhidmatan pendidikan boleh disalurkan melalui prosedur yang sedia ada.

Nasihat itu dikeluarkan Kementerian Pendidikan, berikutan tersebarnya rakaman audio di media sosial berhubung perbualan antara seorang ibu pelajar dengan guru mengenai etika guru itu.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan itu lagi menyatakan bahawa sebarang isu mengenai guru atau perkhidmatan pendidikan di sesebuah sekolah boleh dibawa ke perhatian pemimpin sekolah yang berkenaan atau Kementerian Pendidikan.

Selain itu, Kementerian Pendidikan juga mempunyai beberapa platform terbuka dalam bentuk laman web dan akaun-akaun media sosial yang boleh digunakan pihak awam termasuk ibu bapa untuk menyalurkan sebarang perkara yang berkaitan.

Kenyataan menyatakan bahawa mana-mana isu yang ditimbulkan akan diproses untuk diselesaikan dalam tempoh dan cara yang bersesuaian.

Pada masa yang sama, Kementerian Pendidikan turut menekankan bahawa keselamatan dan perlindungan warga sekolah dan kementerian adalah dilindungi oleh undang-undang negara di mana sebarang ancaman, kekerasan, gangguan, kekasaran lisan atau menghalang dari melaksanakan tugas akan diambil tindakan oleh pihak yang berwajib.

Dalam hal itu, Kementerian Pendidikan memberikan perhatian serius terhadap insiden tular itu dan menjalankan siasatan mengenainya.

Dalam masa yang sama, pihak kementerian memohon orang ramai juga memberikan kerjasama dalam sama-sama menjaga kesejahteraan warga dan komuniti sekolah serta nama baik semua pihak.