Guna telefon Android dengan pergerakan wajah

SAN FRANCISCO, 24 SEPT – Orang kurang upaya (OKU) dari segi fizikal atau pertuturan, kini boleh menggunakan telefon pintar Android mereka hanya dengan mengangkat kening ataupun tersenyum, tanpa perlu menggunakan tangan.

Google semalam mengumumkan bahawa kelengkapan dua peralatan baharu menyaksikan kamera menghadap ke depan serta pembelajaran mesin pada telefon pintar itu berupaya mengesan pergerakan wajah dan mata.

Ia membolehkan pengguna mengimbas skrin telefon mereka dan memilih fungsi sedia ada dengan tersenyum, mengangkat kening, membuka mulut ataupun melihat ke kiri, kanan atau atas.

“Bagi memperluas akses Android kepada semua orang, kami melancarkan peralatan baharu yang memudahkan awda mengawal telefon dan berkomunikasi menggunakan pergerakan wajah,” kata Google.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) menganggarkan kira-kira 61 juta populasi dewasa di Amerika Syarikat (AS) terdiri daripada golongan kurang upaya.

Ia sekali gus mendorong Google dan pesaing, Apple serta Microsoft, untuk membangunkan produk dan perkhidmatan yang lebih mudah diakses oleh golongan itu.

“Setiap hari, orang menggunakan arahan suara seperti ‘Hai Google’ atau tangan untuk navigasi telefon mereka.

“Bagaimanapun, ia bukan sentiasa dapat dilakukan golongan yang mengalami kecacatan motor serta pertuturan yang teruk,” menurut syarikat gergasi teknologi itu dalam satu catatan blog.

Inovasi itu membabitkan dua ciri baharu, iaitu ‘Camera Switches’ yang membolehkan seseorang menggunakan wajah mereka dan bukannya meleret atau mengetik, untuk berinteraksi dengan telefon pintar.

Satu lagi ciri ialah ‘Project Activate’, iaitu aplikasi baharu Android yang membolehkan seseorang menggunakan pergerakan wajah untuk keperluan fungsi seperti telefon memainkan frasa rakaman, mengirim teks atau membuat panggilan. – AFP

Pelawat berjalan di depan petak Android di Kongres Telefon Mudah Ali Sedunia (MWC) di Barcelona. Orang kurang upaya kini boleh menggunakan telefon pintar Android hanya dengan mengangkat kening ataupun tersenyum, tanpa perlu menggunakan tangan. – AFP