Guna WhatsApp tangani jenayah

MIRI, 15 Mei – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mewujudkan WhatsApp kumpulan kejiranan komuniti dan pengawasan jenayah bagi Miri dalam usaha mencari penyelesaian jangka panjang dan pendek terhadap isu yang membelenggu kehidupan seharian di bandaraya itu.

Naib Pengerusi Wanita Kebangsaan PKR Voon Shiak Ni berkata penggunaan kumpulan Whatapps itu akan dilakukan segera dan buat permulaan akan difokuskan di kawasan taman perumahan di bandaraya Miri. “Pendekatan ini telah berjaya dilaksanakan di bandaraya Kuching di mana penduduk setempat dihubungkan dengan wakil rakyat mereka, agensi kerajaan tempatan dan polis,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata kaedah ini menampakkan kejayaan di bandaraya Kuching sehingga ada tempat yang merekodkan sifar kes jenayah berbanding satu kes jenayah seminggu sebelumnya.

Katanya tujuan mewujudkan kumpulan WhatsApp itu adalah untuk mencari penyelesaian terhadap isu harian yang membelenggu penduduk kawasan Parlimen Miri bersama pihak berkuasa berkenaan seperti majlis tempatan dan bukan hendak mencari kesalahan sesiapa. – Bernama