‘Gunakan Jantung untuk Berhubung’

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Sempena Sambutan Hari Jantung Sedunia, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menyeru orang ramai supaya menggunakan rangkaian digital yang sedia ada pada masa ini untuk menghubungkan pesakit dengan keluarga, rakan, pesakit lain, doktor dan penjaga terutamanya semasa menghadapi situasi wabak COVID-19 pada masa ini.

“Jangan biarkan diri sendiri atau keluarga merasa terpencil atau sendirian, gunakan teknologi untuk berhubung serta bagi membantu dalam penjagaan kesihatan hati dan jantung awda. #Gunakan Jantung (Heart) untuk Berhubung,” ujar beliau dalam perutusannya sempena sambutan tahun ini yang membawa tema ‘Gunakan Jantung untuk Berhubung’.

Dalam perutusannya itu, Yang Berhormat Dato mengongsikan di Negara Brunei Darussalam, penyakit kardiovaskular adalah penyebab kematian kedua tertinggi yang menyumbang kepada hampir 25 peratus punca kematian pada 2019.

Pada 2020, seramai 1,438 individu dimasukkan ke hospital dengan diagnosis penyakit kardiovaskular (CVD) dan setiap tahun negara mencatatkan kira-kira 500 kematian akibat penyakit kardiovaskular.

Yang Berhormat Dato menambah, penyakit kardiovaskular (temasuk penyakit jantung dan strok) adalah antara empat penyakit utama selain kanser, diabetis dan penyakit pernafasan kronik yang menyumbang kepada kira-kira dua pertiga (69%) kematian pramatang dalam kalangan orang dewasa berumur 30 hingga 69 tahun di Negara ini.

Oleh itu, pengawalan faktor-faktor risiko adalah sangat penting dalam mencegah penyakit kardiovaskular. Ini termasuklah, mengamalkan pemakanan seimbang dalam hidangan sederhana (moderation); mengaktifkan diri dengan melakukan kegiatan fizikal 30-60 minit 5-7 hari seminggu; berhenti merokok; sentiasa bersikap positif dan mendapatkan tidur yang mencukupi akan mampu melindungi tubuh kita dari penyakit dan dapat mencegah sekurang-kurangnya 80 peratus kematian pramatang akibat penyakit jantung dan strok.

Beliau seterusnya berkata, pada ketika ini, semasa dunia masih lagi bergelut dengan pandemik COVID-19, semua orang perlu menyedari betapa pentingnya kesihatan diri sendiri dan orang-orang yang disayangi.

Bagi 520 juta orang yang hidup dengan penyakit kardiovaskular, pandemik COVID-19 sangat memilukan, mereka adalah lebih berisiko dijangkiti dan mengalami gejala yang teruk, lebih-lebih lagi dengan penularan luas varian delta yang membimbangkan (variant of concern).

Di Negara Brunei Darussalam, ujar beliau, gelombang kedua pandemik COVID-19 telah terbukti mengakibatkan gejala-gejala yang serius dalam kalangan mereka yang mudah dijangkiti seperti golongan warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik seperti penyakit kardiovaskular, tekanan darah tinggi, obesiti, penyakit pernafasan kronik dan diabetes, terutama sekali di kalangan mereka yang belum lagi mendapatkan vaksinasi.

Mengulas mengenai tema Sambutan Hari Jantung Sedunia tahun ini, Yang Berhormat Dato berkata bahawa ia menggesa orang ramai untuk menggunakan pengetahuan, kasih sayang/belas kasihan dan pengaruh setiap individu untuk memastikan mereka sendiri, orang tersayang dan masyarakat di sekeliling mereka mempunyai peluang terbaik untuk menjalani kehidupan yang sihat melalui penggunaan teknologi digital kesihatan.

“Ia menumpukan hubungan kita dengan hati dan jantung sendiri, memastikan kita menjaga dan memeliharanya dengan sebaiknya, serta menggunakan kuasa digital untuk berhubung di antara satu sama lain di mana sahaja.

“Penggunaan teknologi kesihatan digital/Tele-Health sememangnya mempunyai peranan besar semasa pandemik COVID-19 masih lagi berleluasa bagi meningkatkan pencegahan dan pengurusan penyakit kardiovaskular,” tambah beliau.