Gunakan media sosial sebaiknya

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jan – Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) perlu menjana pemasaran digital dan menggunakan media sosial bagi meningkatkan kemampuan dalam memberi respons kepada trend pelancongan yang pantas berubah.

Ini signifikan dalam memperbaiki statistik pelancongan dan analitis pengumpulan data bagi negara-negara ASEAN dan dalam masa yang sama menugaskan pegawai kanannya untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam kalangan ahli pertubuhan itu.

Perkara ini adalah antara yang disepakati oleh menteri-menteri pelancongan ASEAN semasa Mesyuarat Menteri-menteri Pelancongan ASEAN ke-20 dan Mesyuarat Menteri-menteri Pelancongan ASEAN+3 ke-16 serta Forum Pelancongan ASEAN 2017 (ATF) di Marina Bay Sands Convention Centre, Singapura bermula 18 Januari sehingga hari ini.

Mesyuarat-mesyuarat itu didahului Mesyuarat Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan ASEAN (NTOs) ke-45, Mesyuarat ASEAN+3 (APT) ke-30, Mesyuarat Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan ASEAN dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan dengan rakan-rakan dialog.

Hadir ke mesyuarat-mesyuarat itu ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong. Turut serta ialah Timbalan Setiausaha Tetap KSSUP, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali. Menteri-menteri ASEAN juga melahirkan kegembiraan atas kemajuan yang dicapai dalam kerjasama pelancongan ASEAN dalam 2016, terutamanya dalam sumbangan sektor pelancongan ke arah pembentukan Komuniti ASEAN menerusi penyelesaian semua langkah-langkah pelancongan di bawah rangka tindakan AEC 2015.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bergambar ramai bersama perwakilan negara-negara ASEAN yang lain.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bergambar ramai bersama perwakilan negara-negara ASEAN yang lain.

Para menteri ASEAN juga komited dalam pelaksanaan Pelan Strategik Pelancongan ASEAN (ATSP) 2016-2025 yang mana negara-negara peneraju dalam kesemua aktiviti utama di bawah Rancangan Kerja bagi 2016-2017 telah dikenal pasti. Mereka yakin bahawa kemajuan pelaksanaan masa kini dan peranan aktif negara-negara peneraju akan membolehkan pelancongan ASEAN mengekalkan sumbangannya ke arah merealisasikan matlamat integrasi yang digariskan dalam ASEAN 2025: Bersama Menuju ke Hadapan yang mana ASEAN menjangka akan menerima 116 juta pelancong antarabangsa dalam 2016, pertumbuhan 6.5 peratus berbanding 2015.

Manakala dalam pelancongan pelayaran persiaran, para menteri mengulangi komitmen untuk mengembangkan Asia Tenggara sebagai destinasi pelayaran persiaran. Mereka yakin menjelang 2035, penumpang kapal persiaran yang berkunjung ke Asia Tenggara dijangka akan mencecah 4.5 juta.

Para menteri juga bersepakat dalam Deklarasi Bersama Pelancongan Pelayaran Persiaran sebagai sebahagian daripada rancangan kerja pelayaran. Dialog sulung mengenainya akan diadakan untuk membincangkan potensi pertumbuhan industri pelayaran persiaran.

Manakala bagi memperingati ulang tahun ke-50 ASEAN pada tahun ini, satu kempen Visit [email protected] Golden dilancarkan sebagai kerjasama antara negara-negara anggota ASEAN, dalam usaha memperlihatkan kekayaan kepelbagaian budaya dan masyarakat di rantau ini.

Dengan komitmen kukuh daripada negara-negara ASEAN, para menteri melahirkan keyakinan dapat mencapai sasaran ketibaan 121 juta pelancong antarabangsa ke rantau itu dalam tahun ini.

Menteri-menteri juga menyokong inisiatif untuk mengembangkan produk pelancongan yang sedia ada (pengembaraan, alam semula jadi, pelayaran persiaran, budaya dan warisan, pendidikan, makanan, riadah, kesihatan dan spa, MICE dan ziarah) serta kerjasama dengan rakan-rakan dalam mengembangkan dan memasarkannya.

Di mesyuarat itu juga, Negara Brunei Darussalam melalui Majlis Perundingan Kampung Kiudang merupakan antara 26 penerima Anugerah Pelancongan Komuniti ASEAN di mana anugerah itu adalah kali pertama dianugerahkan kepada negara yang berdasarkan Pelancongan Berasaskan Masyarakat yang mengandungi penunjuk prestasi bagi pengurusan produk pelancongan diselaraskan yang ditawarkan oleh masyarakat.

Pada mesyuarat-mesyuarat itu, menteri-menteri ASEAN juga membincangkan Sistem Pendaftaran Profesional Pelancongan ASEAN (ATPRS), menyeru mempercepatkan penubuhan Sektretariat Serantau bagi pelaksaan MRA-TP di Jakarta Indonesia, menyokong pelaksanaan Memorandum Kerjasama (MOC) berhubung Pelancongan ASEAN+3, membincangkan perkembangan Pelan Kerja Kerjasama Pelancongan APT 2018-2020 dan menghargai usaha-usaha para pemimpin NTO ASEAN+3 mengembangkan pelancongan dan pertukaran kebudayaan ASEAN.

Mesyuarat juga diselajurkan dengan Pameran Pelancongan (Travex) bertemakan ‘Bersama-sama Merangka Perjalanan Pelancongan’ yang dihadiri 324 pembeli dan 355 pempamer. Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Jabatan Pembangunan Pelancongan bersama-sama empat stakeholder pelancongan iaitu Penerbangan Diraja Brunei (RB), The Empire Hotel & Country Club, Hotel Orchid Garden dan Freme Travel Services.

Negara juga mempromosikan produk-produk utamanya merangkumi pakej-pakej Temburong, Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer dan juga produk pelancongan berasaskan aktiviti.

Ini termasuklah tempat-tempat popular seperti Masjid Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja dan sebagainya. Kawasan lain termasuklah Kampong Ayer yang memperlihatkan keunikan dan kekayaan warisan serta budaya. Selain itu, Ulu Temburong yang memberikan pengalaman keindahan yang tidak dapat dilupakan, kekayaan dan kepelbagaian alam semula jadi dan persekitaran– hutan hujan tropika asli dan habitat alam semula jadinya.

Turut dipromosikan ialah pelancongan berasaskan masyarakat, pelancongan pendidikan, golf, MICE dan produk lawatan Islamik.