Gunners bedil napoli

NAPLES, Itali, 19 April – Alexandre Lacazette menjaringkan satu–satunya gol ketika Arsenal menewaskan Napoli 1-0 awal pagi tadi untuk mara ke persaingan separuh akhir Liga Europa menerusi agregat 3-0.

Sepakan bebas mengejutkan minit ke-36 menerusi Lacazette memastikan kelab Inggeris itu mara ke empat pasukan terakhir menentang Valencia dari Sepanyol.

“Saya tidak tahu sama ada ia permainan terbaik kami musim ini, tetapi ia bagus, terutamanya selepas menewaskan Watford pada Isnin lalu,” kata pengurus Arsenal, Unai Emery.

“Objektif kami adalah untuk menjaringkan gol, kami melakukannya, untuk menang, dan perlu konsisten sepanjang 90 minit.

“Saya berbangga dengan para pemain, berbangga dengan tugas kami. Pemain–pemain menunjukkan personaliti.”

Lacazette (kiri) meraikan jaringan pembukaan perlawanan bersama rakan sepasukannya ke atas Napoli dalam persaingan suku akhir Liga Europa di San Paolo. – AP

Penyingkiran Napoli kendalian Carlo Ancelotti bermakna tidak lagi ada kelab Itali dalam persaingan Eropah musim ini.

“Kami mengetahui ia akan menjadi sukar, dan maaf tiada lagi ada kelab Itali yang tinggal,” kata Ancelotti, selepas Juventus tersingkir keluar dari Liga Juara-Juara menentang Ajax baru-baru ini.

“Saya rasa kunci kepada kelayakan adalah 20 minit pertama di gelanggang luar, ia adalah ketika kami beraksi dengan teruk.

“Dua perlawanan tersebut berada dalam keadaan seimbang, tidak banyak perbezaan menerusi keputusan perlawanan.”

Pasukan kendalian Emery tidak pernah terjejas oleh pasukan Itali itu biarpun persekitaran hangat di Stadio San Paolo, dengan hanya sekitar seribu penyokong Inggeris di antara 40,000 penonton, dan selepas kehilangan pemain tengah Aaron Ramsey kerana kecederaan hamstring selepas setengah jam perlawanan.

Emery kini bakal berdepan pertemuan semula bekas kelabnya, Valencia, pemenang 5-1 menerusi agregat ke atas Villarreal dari Sepanyol, ketika dia menyasarkan gelaran keempat Liga Europa. – AFP