Gunners di landasan yang tepat

LONDON, 5 OKT – Pemain remaja Arsenal, Bukayo Saka, meraikan panggilan pertamanya dalam skuad England dengan menjaringkan gol buat The Gunners dalam kemenangan 2-1 menentang Sheffield United semalam.

Saka dimasukkan dalam skuad Gareth Southgate minggu ini untuk perlawanan antarabangsa England menentang Wales, Belgium dan Denmark.

Pemain berusia 19 tahun itu menandakan penglibatan pertamanya di England dengan membantu Arsenal dengan jaringan gol pertamanya di Stadium Emirates.

Nicolas Pepe turun dari bangku simpanan untuk menambah gol kedua buat Arsenal di separuh masa kedua perlawanan.

David McGoldrick menjaringkan gol pertama buat Sheffield United musim ini di minit-minit akhir perlawanan, tetapi sudah terlambat untuk kembali bangkit selepas ketinggalan dua gol.

Arsenal tidak berada di tahap terbaik, tetapi Arteta mendorong pemainnya tetap fokus dan akhirnya menemui jalan untuk memastikan kemenangan ketiga di Liga Perdana Inggeris mereka dalam empat perlawanan musim ini. Ini adalah perlawanan yang baik buat Arsenal dalam beberapa tahun terakhir dan kemenangan itu menandakan kemajuan mereka sejak Arteta mengambil alih tugas pada bulan Disember lalu.

Pemenang Piala FA itu belum kalah di halaman sendiri sejak Februari lalu dan mereka bertambah semakin baik, memberikan harapan kepada mereka untuk berada di kedudukan empat teratas liga.

Pasukan Chris Wilder telah tewas keempat-empat perlawanan liga musim ini, meninggalkan mereka di zon penyingkiran hanya beberapa minggu setelah berakhirnya musim pertama mereka yang mengagumkan.

Kekalahan tujuh perlawanan berturut-turut yang merangkumi tiga perlawanan musim lalu adalah aksi terburuk mereka sejak 1975-76. – AFP

Reaksi Nicolas Pepe (kanan) ketika meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya, Pierre-Emerick Aubameyang pada perlawanan antara Arsenal dan Sheffield United di Stadium Emirates, London, kelmarin. – AP