Gunners melonjak naik

LONDON, 2 April – Unai Emery mencabar Arsenal untuk mencipta sejarahnya tersendiri selepas melonjak naik kedudukan ketiga dalam saingan Liga Perdana Inggeris selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Newcastle kelmarin.

Jaringan Aaron Ramsey pada babak pertama diikuti dengan gol kemenangan menerusi Alexandre Lacazette pada babak kedua dalam aksi yang berlangsung di Stadium Emirats sekali gus mengekalkan prestasi memberangsangkan di bawah kendalian Emery.

Arsenal melonjak naik dengan kelebihan dua mata mengatasi Tottenham dan Manchester United dan menghidupkan peluang mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara dengan menghabiskan kempen liga berada dalam kelompok empat teratas dengan berbaki tujuh perlawanan.

Ia merupakan kali pertama Arsenal berada dalam kedudukan ketiga sejak April 2017 yang mana ia memperlihatkan pencapaian mereka di bawah kendalian bekas pengurus Paris Saint Germain, Emery yang menggantikan Arsene Wenger pada akhir musim lalu.

Ramsey meledak gol kelima pada musim ini dan ia merupakan gol kedua peribadi sejak menandatangani perjanjian untuk menyertai Juventus selepas akhir musim ini.

Ramsey (dua kanan) meraikan jaringannya semasa perlawanan menentang Newcastle United di Stadium Emirates, London awal pagi kelmarin. – AP

Sementara Ramsey bukan sebahagian daripada rancangan jangka panjang Emery, Arsenal masih melalui masa depan yang cerah selepas mencatat kemenangan ke-10 berturut-turut di tempat sendiri buat pertama kali sejak Disember 1997 sehingga Mei 1998.

Arsenal berakhir dengan 63 mata semasa di bawah kendalian Wenger musim lalu dan Emery menyamai rekod tersebut tetapi masih berbaki tujuh perlawanan.

Tidak mengherankan apabila penyokong Arsenal meraikan kemenangan penting itu dengan mengejek pesaing tetangga London Utara dengan sorakan ‘are you watching Tottenham.’

“Ia sejarah baharu. Kami mencipta sejarah tersendiri. Sasaran kami sangat jelas,” kata Emery.

“Kami menyemarakkan suasana yang meriah di sini. Kami melalui detik yang hebat dan mentaliti pemain sangat bagus.

“Kami melakukan peningkatan tetapi kami tahu ia sukar. Tottenham, Chelsea dan Manchester United akan memenangi perlawanan yang banyak.” – AFP