Gunners mengamuk di Frankfurt

FRANKFURT AM MAIN, 20 SEPT – Pemain-pemain muda Arsenal, Joe Willock dan Bukayo Saka menemui sasaran ketika skuad muda Gunners menang mudah 3-0 di Eintracht Frankfurt, yang bermain 10 orang, dalam aksi Liga Europa awal pagi tadi.

Willock, 20, salah seorang daripada tujuh perubahan yang dibuat oleh pengurus Arsenal, Unai Emery ke atas pasukannya yang seri 2-2 di Watford hujung minggu lepas, meletakkan Gunners di depan pada separuh masa pertama apabila golnya terbias terkena pemain Frankfurt.

Saka, 18 dan Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan gol lewat apabila Frankfurt dikurangkan menjadi 10 pemain ketika perlawanan berbaki 11 minit apabila pemain tengah Dominik Kohr dilayangkan kad kuning kedua.

“Semua orang gembira dan meneruskan kejohanan ini adalah penting, jadi ia adalah bagus untuk mendapatkan kemenangan, terutama di laman lawan,” kata Emery.

Bos Arsenal itu memuji kematangan dan keyakinan Saka, yang menjaringkan gol dan membantu Aubameyang bagi gol ketiga.

“Kami mahu memberikan peluang kepada pemain-pemain muda dan mereka menunjukkan keyakinan untuk merebut peluang mereka,” kata Emery.

“Dia (Saka) menunjukkan keyakinan dari segi penyudahnya, kuat dari segi fizikal,” tambah Emery, yang memuji barisan pertahanannya setelah menafikan Frankfurt, yang membuat 24 percubaan ke arah gawang Gunners.

Arsenal bangkit setelah mensia-siakan kelebihan dua gol semasa beraksi menentang Watford, dengan pemain perancang Mesut Ozil tidak disenaraikan dalam skuad ke Jerman.

Penandatanganan rekod kelab, Nicolas Pepe dan pemain tengah Dani Ceballos membuat penampilan di separuh masa kedua sebagai pemain gantian. – AFP

Bukayo Saka (kanan) meledakkan gol kedua Arsenal ketika menentang Frankfurt di Jerman. – AP