Gunners tandatangani Odegaard AS$41 juta

LONDON, 20 OGOS – Arsenal hari ini menandatangani Martin Odegaard dari Real Madrid dengan perjanjian tetap setelah pemain tengah antarabangsa Norway itu mempamerkan aksi cemerlang ketika menjadi pemain pinjaman di Emirates musim lalu.

Pemain berusia 22 tahun itu dilaporkan pada awalnya bernilai £30 juta (AS$41 juta) dengan Arsenal juga dijangka membelanjakan £30 juta bagi penjaga gawang England, Aaron Ramsdale dari Sheffield United dalam beberapa hari mendatang.

Odegaard menyertai Madrid ketika berusia 16 tahun pada tahun 2015, tetapi hanya membuat lapan penampilan La Liga untuk kelab gergasi Sepanyol itu ketika dia dipinjamkan ke Heerenveen, Vitesse Arnhem dan Real Sociedad sebelum bergabung dengan Arsenal Januari lalu.

Dalam 20 penampilan bersama The Gunners, Odegaard menjaringkan dua gol dan memberikan dua assist, tetapi tidak dapat membantu Arsenal melayakkan diri ke Eropah untuk pertama kalinya dalam 25 tahun ketika anak buah Mikel Arteta berada di kedudukan kelapan di Liga Perdana Inggeris (EPL). – AFP

Gambar fail menunjukkan aksi Martin Odegaard ketika membawa bola dalam perlawanan EPL menentang Chelsea di Stadium Stamford Bridge di London. Arsenal mengesahkan menandatangani Odegaard dari Real Madrid, hari ini. – AP