Gunners tersungkur di Villa

BIRMINGHAM, 22 JULAI – Aston Villa berjaya keluar dari zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika pemain sayap Mesir, Trezeguet berjaya menjaringkan gol kemenangan 1-0 ke atas Arsenal pada perlawanan semalam.

Di perlawanan yang berasingan, Watford tewas 4-0 menentang Manchester City pada perlawanan awal semalam dan membuka pintu untuk Villa menyelamatkan diri dari kedudukan tiga tercorot.

Villa merebut peluang itu dengan kemenangan pertama mereka di EPL menentang Arsenal dalam 18 kali pertemuan mereka sejak 1998.

Villa kini berada di tangga keempat tercorot di atas Watford yang berada di tangga ketiga dengan perbezaan gol.

Villa akan bertemu West Ham untuk perlawanan terakhir musim ini pada Ahad ini, sementara Watford berkunjung ke Arsenal dan Bournemouth yang berada di tangga kedua tercorot akan bertemu Everton.

Aston Villa akan terselamat jika Watford tewas di Arsenal yang pasti akan menjadi perlawanan akhir yang cukup dramatik.

Sekiranya Villa dan Watford memenangi perlawanan mereka, maka perbezaan gol akan menentukan siapa yang akan tersingkir.

Arsenal berjaya mara ke final Piala FA dengan menewaskan Manchester City pada perlawanan Sabtu lalu, pengurus Gunners, Mikel Arteta melakukan enam perubahan dan Arsenal kelihatan mempamerkan aksi yang cukup cemerlang di Wembley.

Arsenal perlu memenangi final Piala FA menentang Chelsea untuk layak ke Liga Europa musim depan. – AFP

Aksi Trezeguet dari Aston Villa, ketika menjaringkan gol untuk pasukannya semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Aston Villa dan Arsenal di Stadium Villa Park, Birmingham, England, semalam. – AP