Gunung Agung kembali meletus

JAKARTA, 30 Dis – Gunung berapi Gunung Agung yang terletak di bahagian utara Pulau Bali, Indonesia, meletus pada awal pagi hari ini, menurut pihak berkuasa Indonesia.

“Letusan berlaku di Gunung Agung pada hari ini jam 4:09 waktu tempatan. Ketinggian kepulan asap debu adalah sangat sukar untuk diperhatikan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia.

Awam tebal telah menghalang penglihatan terus ke puncak gunung apabila ia meletus, tambahnya.

Letusan berkenaan direkodkan menggunakan seismograf bersama dengan catatan amplitud 22mm, berlaku dalam tempoh tiga minit dan lapan saat, tambah kenyataan berkenaan.

“Ketika ini, gunung berapi Gunung Agung berada dalam tahap berjaga-jaga,” menurut kenyataan, dengan menambah bahawa tahap bahaya peringkat ketiga telah dikeluarkan ke atas gunung berapi itu.

Sementara itu, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) meminta penduduk setempat, pengembara dan pelancong untuk menjauhkan diri daripada zon bahaya pada ketika ini, iaitu 4km dari kawah gunung berapi.

PVMBG berkata kawasan-kawasan zon bahaya berkemungkinan diperluas atau dikurangkan dalam tempoh beberapa hari berdasarkan kepada keputusan yang diperhatikan oleh pusat pemerhati di negara itu.

Agensi berkenaan turut memberi amaran kepada orang ramai yang tinggal berdekatan sungai-sungai untuk berhati-hati terhadap ancaman berpotensi seperti aliran lava dan lahar yang boleh mengalir masuk ke sungai.

Manakala itu, jurucakap agensi pengurusan bencana kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata debu gunung berapi telah menjejaskan kawasan-kawasan di utara Bali semasa musim tengkujuh ini. – Xinhua

Gambar fail bertarikh 15 Julai yang lalu menunjukkan letusan gunung berapi Gunung Agung yang dapat disaksikan dari Kampung Pakraman di Daerah Karangasem, Bali, Indonesia. – Xinhua