KARANGASEM, Indonesia, 29 Sept – Sebuah gunung berapi yang berderum-deram di pulau percutian Bali sedang memuntahkan wap dan asap sulfur dengan lebih kerap, sekali gus menambah kebimbangan berlakunya satu letusan tatkala pegawai berkata jumlah penduduk yang dipindah telah mencecah 144,000 orang.
Gunung Agung, 75 kilometer dari pusat peranginan Kuta, telah bergegar sejak Ogos dan mengancam akan meletus untuk kali pertama sejak 1963, memberi tamparan hebat kepada industri pelancongan yang menguntungkan di pulau itu.
Pusat Vulkanologi dan Pengurangan Risiko Geologi Indonesia berkata hari ini sensor satelit mudah alih telah mengesan pengeluaran wap baru dan kawasan termal di dalam kawah.
Kepulan wap putih, yang mengandungi asap sulfur, telah diperhatikan naik 50 hingga 200 meter di atas gunung, kata pusat.
“Buat masa sekarang, kemungkinan letusan adalah lebih tinggi daripada kemungkinan tidak adanya letusan, bagaimanapun, kemungkinan mungkin berubah,” kata Kasbani, ketua ahli vulkanologi pusat yang seperti kebanyakan warga Indonesia menggunakan satu nama.

Seorang lagi ahli vulkanologi di pusat, Gede Suandika, berkata pengeluaran asap sulfur yang lebih kerap dalam tempoh tiga hari lalu menandakan gunung berapi sedang berubah.
“Pada pagi ini asap keluar daripada kawah seperti asap yang keluar daripada serombong kilang,” kata beliau.
“Sejak asap sulfur sudah keluar, kemungkinan letusan berlaku adalah lebih tinggi.”
Agensi pengurangan bencana Bali berkata 144,389 orang telahpun dipindahkan sekarang, berbanding dengan jumlah 122,490 semalam.
Mereka tinggal di hampir 500 tempat perlindungan sementara di sembilan daerah dan ada di antara mereka menyeberangi Selat Lombok untuk berlindung di pulau berhampiran Lombok.
Kira-kira 62,000 orang tinggal di zon bahaya sebelum pemindahan, menurut agensi pengurangan bencana Indonesia, namun penduduk di luar kawasan juga telah meninggalkan tempat berkenaan disebabkan takut. – AFP