Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gunung berapi Indonesia meletus, sekurang-kurangnya 6 terkorban

    MAUMERE, 4 NOV – Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia berkata hari ini bahawa sekurang-kurangnya enam orang maut ketika siri letusan gunung berapi semakin meluas di pulau terpencil Flores.

    Letusan di Gunung Lewotobi Laki Laki sejurus selepas tengah malam Isnin memuntahkan abu tebal berwarna coklat setinggi 2,000 meter ke udara dan abu panas melanda kampung berhampiran, membakar beberapa rumah termasuk rumah ibadat Katolik, kata Firman Yosef , seorang pegawai di pos pemantauan Gunung Lewotobi Laki Laki.

    Agensi Pengurusan Bencana berkata bahawa maklumat mengenai jumlah korban dan kerosakan masih dikumpul kerana laporan media tempatan mengatakan lebih ramai orang tertimbus di rumah yang runtuh.

    Pihak berkuasa turut menaikkan tahap bahaya dan meluaskan zon bahaya bagi Gunung Lewotobi Laki Laki berikutan beberapa siri letusan yang bermula minggu lalu.

    Agensi pemantau gunung berapi negara itu meningkatkan status amaran gunung berapi itu ke paras tertinggi dan lebih dua kali ganda zon terkecuali kepada radius 7 kilometer selepas tengah malam tadi apabila letusan semakin kerap.

    Agensi itu berkata sekurang-kurangnya 10,000 orang telah terjejas akibat letusan di Daerah Wulanggitang,  Daerah dan Daerah Titehena.

    Beliau berkata bahan gunung tersembur sehingga 6 kilometer dari kawahnya, menyelubungi kampung dan pekan berhampiran dengan bertan-tan serpihan gunung berapi dan memaksa penduduk melarikan diri.

    Seorang biarawati di kampung Hokeng meninggal dunia dan seorang lagi hilang, kata Agusta Palma, ketua Yayasan Saint Gabriel yang menambah, “Para biarawati kami berlari keluar dalam keadaan panik di bawah hujan abu gunung berapi dalam kegelapan.”

    Gambar dan video yang disebarkan di media sosial menunjukkan banyak serpihan gunung berapi menutupi rumah sehingga ke atas bumbung mereka di kampung seperti Hokeng, di mana bahan gunung berapi panas membakar rumah.

    Ini merupakan letusan gunung berapi kedua di Indonesia dalam beberapa minggu susulan letusan Gunung Marapi pada 27 Oktober lalu dengan sekurang-kurangnya tiga kali letusan abu tebal menyelubungi kampung berhampiran dengan serpihan tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – AP

    Gunung Lewotobi Laki-Laki memuntahkan bahan gunung berapi dari kawahnya semasa letusan di Flores Timur, Indonesia kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda