Gunung berapi meletus, 100 rumah ditelan lahar

MADRID, 20 SEPT – Aliran lahar memusnahkan kira-kira 100 buah rumah di Pulau Canary Sepanyol sehari selepas sebuah gunung berapi meletus, memaksa 5,000 penduduk dipindah dari kawasan itu, kata pihak berkuasa tempatan hari ini.

Gunung berapi Cumbre Vieja meletus pada kira-kira 3 petang semalam, mendorong asap tebal hitam berkepul-kepul naik ke udara dan lahar yang lebur mengalir turun dari lereng gunung di pulau La Palma.

“Sekarang kami telah memindah 5,000 orang dan kira-kira 100 buah rumah telah dimusnahkan,” kata Lorena Hernandez Labrador, ahli majlis perbandaran di Los Llanos de Ariadne, bandar yang terletak beberapa kilometer dari gunung berapi itu.

Gambar di Twitter menunjukkan lahar yang bergerak perlahan mengalir turun dari lereng gunung, tompok api meletus ketika ia mendekati sekumpulan rumah yang terletak berhampiran.

Ini kali pertama gunung berapi Cumbre Vieja yang terletak di Kepulauan Canary, Lautan Atlantik itu meletus dan memuntahkan lahar, asap dan debu sejak 1971.

Anggota polis Sepanyol berkata pihaknya memindahkan antara 5,000 hingga 10,000 penduduk tempatan dari kawasan berkenaan, lapor Agensi Berita Anadolu.

Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez semalam menangguhkan perjalanannya ke New York sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sebaliknya akan melawat La Palma.

Saintis Sepanyol mula mengesan peningkatan aktiviti gempa di kawasan berkenaan sejak lapan hari lalu, dan sekitar 25,000 gempa kecil direkodkan. – AFP/Bernama

Gunung berapi Cumbre Vieja meletus memuntahkan asap dan debu dari Los Llanos de Aridane di pulau Canary La Palma kelmarin. – AFP