Monday, February 17, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gunung Kidul destinasi popular pelancongan

    KABUPATEN Gunung Kidul di Yogyakarta, Indonesia telah menarik kedatangan seramai 47,000 pelancong tempatan dan asing pada cuti umum sempena perayaan Hari Easter yang disambut pada 14 hingga 16 April lalu.

    Dalam tempoh tiga hari itu sahaja telah menyumbang kepada pertambahan bilangan pelancong pada tahun ini yang mengembara ke serata lokasi menarik di sekitar Gunung Kidul.

    Antara aktiviti mereka di sana termasuklah menikmati keindahan air terjun, pantai dan menerokai gua-gua yang mencabar.

    Gunung Kidul mempunyai banyak lokasi tarikan pelancong yang menarik antaranya, Air Terjun Ngrancah di Kampung Ngleri dan Air Terjun Sri Gethuk di Kampung Bleberan. Selain itu, Gunung Kidul terdapat pantai yang bersih seperti Pantai Gesing, Pantai Ngrenehan, Pantai Ngobaran, Pantai Baron, Pantai Krakal, Pantai Sundak, Pantai Watu Lawang, Pantai Drini dan Pantai Sepanjang.

    Sebuah kolam buatan manusia yang dikenali sebagai Embung Nglanggeran di Kampung Nglanggeran turut menjadi tarikan ramai pelancong. Kolam tersebut berfungsi untuk menampung air hujan yang kemudiannya akan mengalir ke kawasan pertanian terutamanya pada musim kemarau.

    Gunung Kidul terdapat pantai yang bersih seperti Pantai Gesing.
    Gunung Kidul terdapat pantai yang bersih seperti Pantai Gesing.
    Suasana Air Terjun Sri Gethuk di Kampung Bleberan adalah salah sebuah lokasi tarikan pelancong yang menarik di Gunung Kidul.
    Suasana Air Terjun Sri Gethuk di Kampung Bleberan adalah salah sebuah lokasi tarikan pelancong yang menarik di Gunung Kidul.

    Destinasi pelancongan yang cukup terkenal di Gunung Kidul ialah Pantai Timang yang terletak sejauh 67.7 kilometer dari bandar Adisucipto. Di situ anda wajib mencuba untuk menaiki gondola dengan caj sebanyak Rp200,000. Gondola tradisional yang diperbuat daripada kayu sudah ada di situ sejak tahun 1997.

    Gondola itu membawa pengunjung menyeberangi laut sejauh 98 meter ke Pulau Watu Panjang dengan ketinggian di antara 9 hingga 11 meter dari permukaan laut. Pengalaman menggunakan gondola tersebut sememangnya tidak dapat dilupakan kerana pengunjung boleh melihat pukulan ombak yang kuat serta pemandangan indah.

    Cuti umum

    Bagi mereka yang gemar menelusuri gua dengan menaiki pelampung di sungai bawah tanah boleh mengunjungi Gua Pindul di Kampung Bejiharjo.

    Menurut jurucakap Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Tempatan, Hary Sukmono, pada cuti umum Hari Easter lalu, seramai 32,000 pelancong mengunjungi Gunung Kidul pada hari Jumaat dan Sabtu manakala sebanyak 15,000 orang direkodkan pada hari Ahad.

    Hari Easter merupakan perayaan yang diraikan penganut agama Kristian. Bagaimanapun, Hary memberitahu, bilangan pelancong pada cuti umum Hari Raya Aidilfitri pada tahun lalu adalah lebih tinggi berbanding Hari Easter tahun ini.

    “Kira-kira 250,000 pelancong dicatatkan mengunjungi Gunung Kidul pada Aidilfitri tahun lalu,” ujarnya. Pihak kerajaan tempatan Gunung Kidul turut berusaha keras mempromosi dan membentuk lokasi menarik dalam misi pembangunan dan pelaburan pelancongan di daerah tersebut. Ini termasuk memberi fokus untuk membangunkan pelancongan alam semula jadi dan penginapan desa. Gunung Kidul turut menjadi tarikan pelancong seluruh dunia kerana keindahan alam semula jadinya, hidupan laut dan budaya tempatan yang unik.

    Kerajaan tempatan akan mewujudkan pelan pelancongan pantai tempatan yang dilancarkan pada penghujung tahun ini dan bakal digunakan dalam membangunkan potensi setiap pantai di daerah itu.

    Selain itu, pengurusan alam semula jadi di kawasan Gunung Kidul turut memerlukan langkah yang berkesan serta pelaburan daripada kerajaan dan syarikat-syarikat swasta bagi tujuan penambahbaikan kemudahan dan pembangunan hotel.

    Destinasi pelancongan yang cukup terkenal di Gunung Kidul ialah Pantai Timang yang terletak sejauh 67.7 kilometer dari bandar Adisucipto.Di sini anda wajib mencuba untuk menaiki gondola.
    Destinasi pelancongan yang cukup terkenal di Gunung Kidul ialah Pantai Timang yang terletak sejauh 67.7 kilometer dari bandar Adisucipto.Di sini anda wajib mencuba untuk menaiki gondola.

    Pelan pembangunan

    Sementara itu, Setiausaha Serantau Gunung Kidul, Drajat Ruswandono berkata, bagi melaksanakan pelan tersebut, satu perjumpaan yang melibatkan setiap pelabur termasuk agensi pelancongan dan pihak Istana Yogyakarta akan diadakan bagi membincangkan hal pengurusan pantai daerah berkenaan.

    Jelas beliau, setiap pantai di daerah berkenaan akan dibangunkan berdasarkan ciri-ciri istimewa yang dirancang. “Pihak kami akan menggubal pelan induk pelancongan terlebih dahulu sebelum mewujudkan pelan teknikal yang lebih terperinci.

    “Pelan teknikal tersebut bakal menjadi garis panduan utama dalam membangunkan kawasan pantai untuk sektor pelancongan, aktiviti berkaitan ekonomi dan pembangunan perumahan,” jelasnya. Dalam pada itu, Pengarah Bank Central Asia (BCA), Suwignyo Budiman berkata, kerajaan perlu sentiasa menyokong pembangunan industri pelancongan di Gunung Kidul.

    “BCA turut memberikan sokongan kepada usaha-usaha untuk membangunkan industri pelancongan di beberapa kawasan di Indonesia termasuklah Kabupaten Gunung Kidul.

    “Kami akan menyumbang idea-idea dalam merangka strategi dan inisiatif untuk merangsang pelaburan pelancongan di Gunung Kidul,” katanya.

    Mengulas lanjut, Suwignyo memberitahu, Gunung Kidul turut dijangka menjadi salah satu destinasi pelancongan negara dan antarabangsa yang penting pada masa hadapan.

    “Yogyakarta kini telah menjadi destinasi pelancongan yang terbesar di Indonesia selepas Bali. Oleh itu, kerajaan perlu memberi tumpuan terhadap peningkatan jumlah pelancong di sana.

    “Kerajaan dan semua pihak perlu bekerjasama untuk membangunkan tarikan dan destinasi hiburan yang boleh membuatkan pelancong kekal untuk tempoh yang lebih lama di Yogyakarta terutamanya di Gunung Kidul,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda