Gunung Merapi muntah debu dua kali

JAKARTA, 21 JUN – Gunung Merapi di Yogyakarta, Indonesia, satu daripada gunung berapi paling aktif dunia meletus dua kali hari ini, memuntahkan debu setinggi 6,000 meter ke udara, kata agensi geologi negara itu.

Menurut agensi berkenaan, dua letusan itu berlaku kira-kira dua minit dan memaksa pihak berkuasa tempatan mengarahkan penduduk dalam jarak tiga kilometer dari sekitar kawah gunung berapi itu untuk berpindah.

Letusan pertama berlaku pada 9:13 pagi manakala letusan kedua pada 9:27 pagi waktu tempatan.

Agensi geologi Indonesia tidak mengeluarkan amaran gunung berapi namun menasihatkan pesawat komersial berhati-hati berada di ruang udara lokasi kejadian.

Media tempatan melaporkan bahawa penduduk di kawasan sekitar termasuk Sleman dan Klaten mendengar bunyi kuat pada waktu pagi.

Kali akhir Gunung Merapi meletus adalah pada 2010, meragut lebih 300 nyawa, memaksa perpindahan sekitar 280,000 penduduk dari kawasan sekitar.

Ia adalah letupan terkuat sejak 1930, ketika itu membunuh kira-kira 1,300 penduduk, manakala satu lagi letupan pada 1994 mengorbankan 60 nyawa.

Indonesia memiliki lebih daripada 17,000 pulau dan hampir 130 gunung berapi aktif.

Negara gugusan Asia Tenggara itu terletak di atas Lingkaran Api Pasifik, iaitu zon aktiviti seismik, menyebabkan ia turut terdedah kepada ancaman gempa bumi. – AFP

Gunung Merapi kelihatan memuntahkan debu semasa letusan yang dilihat di Sleman, Indonesia, 21 Jun. Gunung berapi itu meletus dua kali, dengan debu tebal menjulang setinggi 6,000 meter ke langit, kelmarin. – AP