Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gunung Reng menggamit peminat sukan lasak

    JELI – Pengguna Jalan Raya Timur Barat yang melalui Batu Melintang di sini, pastinya akan terpandang sebuah gunung berhampiran jalan berkenaan dikenali Gunung Reng. Terletak kira-kira 110 kilometer dari Kota Bharu, gunung yang unik itu dan memiliki keistimewaan yang tersendiri dipercayai mempunyai kaitan dengan lagenda Puteri Saadong namun misteri kewujudannya masih menjadi tanda tanya kepada masyarakat.

    Menurut papan catatan sejarahnya yang terletak di pintu masuk ke kawasan gunung berkenaan, tapak Gunung Reng ini asalnya sebuah kampung bernama Kampung Tala yang dibuka oleh Tok Tadoh keturunan Pulang Hari dari Jawa. Kononnya, Ketua Kampung Tala telah mengadakan kenduri besar-besaran tujuh hari tujuh malam, cukup dengan pelbagai jenis permainan.

    Setelah sampai hari ketujuh semua jenis permainan telah dilangsungkan manakala bagi upacara penutup, mereka bermesyuarat dan bersetuju untuk menyediakan pertandingan memperlaga anjing dan kucing di atas bumbung rumah. Pada waktu Zohor kedua-dua binatang ini dilagakan di atas bumbung rumah, semasa binatang itu sedang berlaga, berlaku ribut dan taufan berserta hujan yang sangat lebat.

    Dalam keadaan ribut taufan, seorang perempuan tua bersama seorang cucunya berlari ke kampung yang berhampiran bernama Kampung Gantung untuk mengangkat padi yang dijemurnya. Setelah selesai mengangkut padi yang dijemur itu, ribut taufan berserta hujan pun berhenti. Perempuan tua tersebut pergi semula ke Kampung Tala, alangkah terperanjatnya apabila perempuan itu melihat Kampung Tala telah dihempap oleh sebuah gunung yang besar dengan melenyapkan Kampung Tala sama sekali.

    Gunung yang menutupi Kampung Tala itu dikatakan asalnya terletak di hulu Sungai Reng, kira-kira tiga hari dua malam perjalanan iaitu di sempadan Kelantan dan Perak. Tempat asal gunung ini telah menjadi kolam dan daripada nama sungai ini maka gunung itu dinamakan Gunung Reng.

    Pelbagai kemudahan awam yang disediakan memerlukan penyelenggaraan yang sempurna di kawasan Gunung Reng. – Bernama
    Pelbagai kemudahan awam yang disediakan memerlukan penyelenggaraan yang sempurna di kawasan Gunung Reng. – Bernama
    Aktiviti berbasikal lasak yang dianjurkan di kawasan berhampiran Gunung Reng baru baru ini. – Bernama
    Aktiviti berbasikal lasak yang dianjurkan di kawasan berhampiran Gunung Reng baru baru ini. – Bernama

    Gunung berkenaan mempunyai beberapa gua yang berbentuk bilik-bilik seperti Gua Bedak, Gua Payung, Gua Kaca dan Gua Rimau. Melalui Gua Payung iaitu pintu besar gunung ini, pengunjung boleh masuk melalui lorong dalam gua ke bilik-bilik serta ke anjung sehingga ke puncak gunung.

    Sesuai untuk aktiviti sukan lasak

    Miskipun Gunung Reng mempunyai keunikan tersendiri namun potensinya sebagai pusat rekreasi dan aktiviti ekopelancongan kurang mendapat sambutan malah kelihatan terbiar. Sehinggalah, sebuah Kelab Berbasikal Jeli tampil untuk mempromosikan gunung berkenaan sebagai lokasi pelancongan khususnya untuk aktiviti sukan lasak.

    Presiden Kelab Berbasikal Rider, Abdullah Althahir Mohammad berkata gunung itu mempunyai nilai komersial yang mampu memberikan sumbangan kepada ekonomi penduduk setempat, namun kurangnya promosi dan aktiviti menyebabkan ianya semakin tidak dikenali. “Oleh itu, pihak kami telah mewujudkan litar basikal lasak sejauh 37 kilometer di kawasan berhampiran gunung ini bagi membolehkan peminat sukan lasak melakukan aktiviti mereka, sekali gus dapat menghidupkan suasana persekitaran gunung berkenaan,” katanya.

    Abdullah Althahir berkata litar itu bermula di taman rekreasi gunung berkenaan sebelum melalui kawasan berbukit, perkampungan, kawasan Felda Tumbi Rapat, kampung Orang Asli, kawasan air terjun, kolam air panas dan sungai Pergau sebelum berakhir di taman rekreasi itu.

    Pada 18 Mac lepas, kelab berkenaan dengan kerjasama beberapa pihak termasuk agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan lumba basikal lasak di litar berkenaan yang mendapat sambutan hampir 1,000 peserta.

    Para pengunjung tidak  melepaskan peluang untuk melihat keindahan yang terdapat di dalam Gunung Reng bersama anggota mereka yang turut menyertainya. – Bernama
    Para pengunjung tidak melepaskan peluang untuk melihat keindahan yang terdapat di dalam Gunung Reng bersama anggota mereka yang turut menyertainya. – Bernama

    Teruja dengan keunikan Gunung Reng

    Bagi peserta luar Kelantan, mereka datang sehari lebih awal daripada bermulanya acara itu dan sesetengahnya bermalam dengan mendirikan khemah di sekitar kawasan gunung manakala yang lain tinggal di inap desa. “Kawasan persekitaran gunung ini memang sesuai untuk aktiviti sukan lasak, banyak cabaran akan ditempuhi. Apabila ada penganjuran sesuatu kejohanan tentunya ramai peserta hadir,” kata Haikal Rosdi, 24, seorang peserta dari Melaka.

    Sehubungan itu, banyak pihak mencadangkan kepada kerajaan negeri serta Majlis Daerah Jeli supaya kawasan persekitaran gunung itu dibaikpulih kemudahan infrastrukturnya bagi manfaat penduduk setempat dan pengunjung. Tinjauan dalami kalangan penduduk di beberapa kampung sekitar gunung berkenaan, mereka menyambut baik usaha untuk mempromosikan gunung berkenaan khususnya dalam sektor pelancongan dan sukan lasak.

    Penghulu Kampung Gunung Reng, Yop Mat Zain Adnan, 57, berkata aktiviti basikal lasak adalah antara aktiviti yang diharap boleh menghidupkan suasana di kawasan gunung berkenaan. “Selain penganjuran basikal lasak, kami berharap aktiviti lain seperti pendakian gunung dan berkayak menyusuri Sungai Pergau dapat dibangunkan,” katanya.

    Pembangunan Gunung Reng sebagai kawasan rekreasi

    Kawasan berkenaan juga boleh dimanfaatkan oleh pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Kelantan kampus Jeli untuk aktiviti luar kampus. Antara kemudahan yang disediakan di taman rekreasi gunung itu ialah kedai makan, taman permainan kanak-kanak dan dewan serbaguna. Terdapat sebuah masjid di kampung berdekatan gunung berkenaan.

    Taman berkenaan juga dilihat berpotensi untuk pengguna Jalan Raya Timur Barat berhenti rehat sebelum meneruskan perjalanan jika kemudahannya setaraf hentian rehat dan rawat (R&R) yang disediakan di sesebuah lebuh raya. Pembangunan pelancongan di kawasan Gunung Reng akan memberi peluang kepada penduduk tempatan memperoleh pendapatan daripada hasil perniagaan terutama industri desa. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda